30 Januari 2023, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tiada yuran atau caj dikenakan terhadap peguam syarie di Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kebajikan peguam syarie khususnya pada era pascapandemik, selain melihat profesion guaman syarie ini masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Tambahnya, keputusan itu juga dibuat selepas mendapat maklum balas dan pandangan daripada Majlis Peguam Syarie Wilayah-wilayah Persekutuan (MPSWP), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berpandangan, kajian lanjut perlu dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan berkaitan sebelum apa-apa ketetapan berhubung dengan pengenaan yuran dan caj ini boleh dibuat.

“Perkara ini penting agar sebarang keputusan berhubung dengan penetapan fi dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielakkan,” jelas Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menerusi kenyataan pada 27 Januari lalu.

Beliau berkata,

Pada masa ini, kajian lanjut sedang dilaksanakan dan fi serta caj bagi seksyen dan akta berkenaan belum lagi ditetapkan. Bagi tahun 2024 dan seterusnya pula, pengenaan fi dan caj ini akan ditentukan setelah perbincangan dan kajian lanjut dengan pihak yang berkepentingan dilaksanakan.

Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 (Akta 814) mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022. Beberapa fi dan caj boleh dikenakan terhadap anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS), iaitu yuran tahunan dan levi di bawah Seksyen 47 Akta 814 yang kena dibayar kepada Badan Peguam Syarie berikutan pelaksanaan akta tersebut. Selain itu, terdapat juga beberapa fi lain di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 yang perlu dibayar kepada Ketua Pendaftar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.