Oleh Syaza Wardina
27 Januari 2023, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohd Farid Janudin

Putrajaya – Kilang pencetakan al-Quran kedua terbesar di dunia, Nasyrul Quran, mengadakan Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar, yang turut dikenali sebagai Restu Global Quranic Arts Festival, bermula pada 20 Januari dan akan berakhir pada 29 Januari 2023.

Pameran buku terbesar di dunia dalam bahasa Arab, bertajuk Inilah Muhammad – Ensiklopedia Mudah Mengenali Nabi Pembawa Rahmat.

Festival yang berlangsung selama 10 hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, antaranya termasuklah pameran buku sirah terbesar Rasulullah SAW, kain kiswah Kaabah dan artifak Rasulullah SAW dan para sahabat, program ilmiah, perkhidmatan pelupusan al-Quran dan buku agama, serta lawatan eksklusif ke lantai kilang pencetakan al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, YBhg. Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Menurut Ketua Pegawai Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, YBhg. Datuk Abdul Latiff Mirasa, penganjuran festival dan pameran di Nasyrul Quran yang diadakan setahun sekali ini adalah untuk menerapkan budaya al-Quran dalam kalangan pengunjung yang hadir.

Melalui festival ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri penghasilan al-Quran di kilang Nasyrul Quran yang melalui proses tertentu. Yang menariknya, di kompleks ini, pengunjung perlu menanggalkan kasut demi menjaga kesucian al-Quran. Budaya yang diterapkan ini bukan sahaja membentuk individu Muslim yang bersifat pembersih, malah melatih diri menjadi seseorang yang berdisiplin apabila pengunjung menyusun kasut dengan baik dan tidak membuang sampah di merata-rata tempat. Di sinilah letaknya keunikan Nasyrul Quran yang boleh dikatakan tidak  ditemui di tempat lain.

Pengunjung melakukan lawatan eksklusif ke lantai kilang pencetakan al-Quran Kompleks Nasyrul Quran.

Festival ini melibatkan pameran dan jualan daripada pelbagai agensi dari seluruh Malaysia dan antarabangsa, seperti dari Iran, Iraq, Yaman dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Palestin. Selain pameran, jualan dan program wakaf al-Quran, Restu Global Quranic Arts Festival turut menyediakan ruangan “Klinik al-Quran” yang memberikan peluang kepada pengunjung cilik untuk membetulkan bacaan al-Quran di hadapan pembimbing. Di samping itu, Nasyrul Quran turut menganjurkan Pertandingan Khat Terbuka buat penggiat seni khat di Malaysia.

Penerangan mengenai pencetakan al-Quran oleh kakitangan Nasyrul Quran.

Selain pengunjung dewasa, kanak-kanak juga berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan melalui festival ini, antaranya termasuklah Peraduan Mewarna Bersama Alif dan Sofea dan Pertandingan Mewarna Batik Kanak-kanak.

Hingga 26 Januari 2023, festival ini berjaya menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Malaysia dengan anggaran antara 3000 hingga 4000 orang pengunjung sehari, bahkan turut mendapat perhatian Duta Turkiye baharu ke Malaysia, Emir Salim Yuksel. Beliau memaklumkan Kerajaan Turkiye bersedia untuk bekerjasama dengan Nasyrul Quran dalam misi dakwah ke seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.