Oleh Syaza Wardina
18 Januari 2023, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Majlis Pengkomersialan Produk Buku Tafsir Nur al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Bitara, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada petang tadi, menjadi titik tolak kolaborasi antara UKM dengan Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia, melalui perjanjian pelesenan yang melibatkan produk buku tersebut.

Pihak UKM dan Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia menandatangani perjanjian pelesenan projek buku Tafsir Nur al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik.

Buku Tafsir Nur al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UKM melalui Fakulti Pengajian Islam, di bawah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah yang diterajui oleh Profesor Madya Dr. Haziyah Hussin. Produk ini merupakan hasil penyelidikan UKM berkaitan dengan perumian dan pentahkikan Tafsir Nur al-Ihsan, yang dibiayai oleh Geran Penyelidikan Universiti. Penyelidikan ini dimulakan pada tahun 2012 dan disokong dengan pembiayaan oleh rakan strategik, iaitu Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia, pada tahun 2019.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata, “Inilah satu daripada usaha yang dilaksanakan oleh Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, UKM, untuk mengkomersialkan kitab Tafsir Nur al-Ihsan yang telah dihasilkan sejak sekian lama dan merupakan sumbangan dalam bidang sains sosial di negara kita.”

Tambah Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal,

Sumbangan yang lebih penting ialah khazanah ini telah dihasilkan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, justeru pihak kami berasakan bahawa khazanah pemikiran dan keintelektualan masyarakat Melayu pada ketika itu sangat relevan digunakan pada hari ini yang akan terus menjadi satu bentuk pemikiran dan pembacaan dalam konteks masyarakat Islam Malaysia sebagai panduan dalam memahami ajaran al-Quran, bersesuaian dengan kehidupan pada hari ini.

“Khazanah ilmu dalam bahasa Melayu ini boleh dimanfaatkan oleh masyarakat umum dan mampu menyumbang kepada perkembangan serta peradaban Melayu Islam,” ujar beliau.

Penasihat Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia, YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia, YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar berkata, “Tafsir Nur al-Ihsan merupakan kitab yang diguna pakai secara meluas di Malaysia dan juga didapati turut diajarkan di Selatan Thailand. Hal ini menunjukkan kitab tafsir ini walaupun dalam bahasa Melayu klasik masih mampu diajar oleh guru dan ulama kita kepada orang awam. Usaha pentahkikan kitab ini akan memudahkan masyarakat awam menggunakan kitab ini secara lebih dekat.”

“Melalui projek buku ini dan kerjasama antara Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia dengan UKM, diharapkan dapat membuka potensi untuk membawa kitab ini secara lebih meluas, membantu usaha menyemarakkan ulama dan mengangkat hasil karya ulama di Nusantara,” tambah beliau.

Pengurus Projek Tafsir Nur al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik, Profesor Madya Dr. Haziyah Hussin.

Menurut Pengurus Projek Tafsir Nur al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik, YBrs. Profesor Madya Dr. Haziyah Hussin, perjalanan projek ini bermula dengan penerokaan awal untuk mengenal pasti sumber hadis dalam kitab tersebut berdasarkan kajian awal pelajar UKM pada peringkat sarjana. Jelas beliau, “Berdasarkan penyelidikan tersebut, pihak kami menemui beberapa riwayat atau hadis yang tidak dikenal pasti statusnya. Di situlah titik tolak bagi usaha kami untuk melakukan pentahkikan.”

Jelas Profesor Madya Dr. Haziyah,

Dari sudut perumian, kami melihat persembahan kitab ini dihasilkan dalam tulisan Jawi Melayu lama. Cetakan yang ada di pasaran pula adalah berdasarkan cetakan Matbaah Halabi di Bangkok, Thailand, pada tahun 1970-an; ibarat salinan atas salinan, dan kebanyakan tulisannya kabur. Apabila pihak kami membuat perbandingan tulisan kitab ini dengan kitab yang disebut oleh pengarang yang dijadikan sebagai sumber rujukan antaranya termasuklah Tafsir al-Jamal al-Baidhawi, dikenal pasti ada huruf yang gugur. Dari situlah tercetusnya usaha untuk merumikan kitab tafsir ini. Daripada proses perumian tersebut, diharapkan dapat membantu masyarakat yang tidak mahir membaca Jawi agar dapat menggunakan kitab ini sebaik-baiknya.

Pada masa sama, kitab ini diletakkan tanda baca dan penjelasan bagi istilah atau kosa kata yang mungkin kurang digunakan atau tidak lagi digunakan oleh masyarakat.

Perumian dan pentahkikan Tafsir Nur al-Ihsan yang merupakan kitab tafsir Melayu pertama yang dihasilkan oleh Haji Muhammad Said Umar pada tahun 1925 boleh dijadikan sebagai bahan kajian dari sudut akademik terutamanya dalam bidang tafsir Melayu Nusantara. Banyak ruang penyelidikan dilihat berpotensi untuk dilaksanakan oleh penyelidik, antaranya termasuklah dari sudut pemikiran pengarang yang memiliki buah fikiran yang baik dan boleh diaplikasikan dalam pendidikan khususnya dalam usaha mengislah masyarakat.

Kredit foto: Universiti Kebangsaan Malaysia
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.