10 Januari 2023, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia berjaya mendapatkan semula kuota rasmi jemaah haji yang pernah ditetapkan oleh Arab Saudi pada awal 2020 lalu bagi musim haji kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Hj. Mokhtar berkata, kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi, semalam.

“Dr Tawfiq Fawzan juga memuji Malaysia, khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata TH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh yang menunjukkan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Arab Saudi untuk menangani pandemik COVID-19 pada tahun-tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pihaknya juga dimaklumkan bahawa tiada had umur bagi mengerjakan rukun Islam kelima bagi musim haji tahun ini berbanding dengan had 65 tahun yang dikenakan pada musim haji tahun lepas.

TH telah memulakan persiapan awal sebaik sahaja tamat operasi musim lalu untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan, memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak TH.

Tambahnya, TH akan mengeluarkan surat tawaran menunaikan haji tidak lama lagi dan akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, 2021 dan seterusnya 2022 yang masih menunggu giliran mereka disebabkan pandemik sebelum diikuti dengan bakal haji giliran 2023. Sistem giliran ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Menurut  beliau, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI juga akan dibuka, dan tarikhnya akan diumumkan oleh pihaknya dalam masa terdekat. Pemilihan rayuan haji adalah berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram akan diberikan keutamaan.

Beliau juga menasihatkan semua bakal jemaah haji untuk menghadiri kursus asas haji anjuran TH selama 13 minggu yang telah bermula pada 25 November 2022 hingga 17 Februari 2023 sebagai persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan dengan ibadat haji, serta mendapat gambaran suasana terkini di Tanah Suci.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.