7 Disember 2022, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Pulau Batu Layang terpilih sebagai lokasi pelancaran kempen “Nihayatul Am Pembayaran Zakat, Wakaf dan Sedekah MAIPs Tahun 2022” semalam. Simbolik pelancaran kempen tersebut berlangsung di Pulau Batu Layang yang terletak di perairan Kuala Sungai Baru yang menjadi salah satu destinasi pelancongan terbaharu dan lokasi memancing menarik di negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor  mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Pulau Batu Layang.

Pulau ini merupakan sebuah pulau kecil yang tiada penghuni dan terletak dalam lingkungan 20 minit dari persisiran pantai Kuala Sungai Baru. Jaraknya hanya 1.3 kilometer dari persisiran pantai Kuala Perlis. Yang menarik tentang pulau ini adalah apabila menjadi tumpuan ikan lumba-lumba di kawasan tersebut. Punca utama tarikan ikan lumba-lumba berhijrah sementara di pulau ini kerana sumber makanan yang banyak dan perubahan suhu air laut yang menjadi tumpuan ikan tersebut.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) berkenan berangkat melancarkan kempen tersebut dan menggalakkan masyarakat untuk terus menunaikan ibadat zakat, wakaf dan sedekah menjelang akhir tahun 2022 yang berbaki 25 hari sahaja lagi.

Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran di Pulau Batu Layang.

Tuanku Raja Muda turut mengambil kesempatan menyeru masyarakat Islam untuk segera menunaikan ibadat zakat dan wakaf, serta memberikan sumbangan untuk menyucikan harta tidak patuh syariah menerusi Tabung Bara’atuz-Zimmah (t-BAZ) MAIPs serta melalui pelbagai saluran yang disediakan oleh pihak MAIPs.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi baginda bersama-sama ketua jabatan yang lain menyeru kepada semua supaya rebutlah peluang yang masih ada untuk melaksanakan segera ibadat ini sebelum tahun 2022 berakhir. Tambah beliau lagi, orang ramai boleh membuat pembayaran mudah secara dalam talian atau di kaunter zakat dan wakaf MAIPs ataupun melalui amil zakat yang telah dilantik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.