12 November 2022, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 ARAU – Seramai 282 graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda telah diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Kali Ke-5 Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bertempat di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh, Arau pada hari ini.

Istiadat yang penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Tuanku Canselor KUIPs yang menyaksikan penerima anugerah daripada tiga buah fakulti, iaitu 137 graduan Fakulti Pengajian Islam, 98 graduan Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam, serta 47 graduan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika menyempurnakan majlis.

Majlis yang penuh gilang-gemilang ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengurusan Tertinggi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), iaitu Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat KUIPs Sdn. Bhd.), Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin (Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs), Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle (Rektor KUIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor (Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd. dan Universiti, iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd. Hamid, Dr. Amina Josetta Dato Paduka Ahmad Kayani, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ezree Abdullah, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Profesor Madya Dr. Mohd Akram Dato’ Dahaman@Dahlan, Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah dan Tuan Naharudeen Othman.

Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama Pengurusan Tertinggi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd. dan Universiti.

Istiadat pada kali ini menyaksikan seramai enam graduan telah terpilih untuk menerima anugerah khas universiti, iaitu Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) diberikan kepada Najwa Norji (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan), Anugerah Rektor  diberikan kepada Sufwan Chebu (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan) dan Mohd Haqqul Yaqin Ahmad M (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam), Anugerah Graduan Terbaik Kokurikulum (Mumtaz) diberikan kepada Nordiyana Nordin (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan), dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma  diberikan kepada Nyan Phone Zaw (Diploma Pengurusan Harta Islam) dan Isaad Mu’adzzam Mohd Ismail (Diploma Pengajian Islam).

Dalam istiadat yang sama, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle telah merakamkan penghargaan terima kasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada KUIPs, terutamanya dalam menyediakan bantuan pendidikan tahunan melalui Bantuan Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs kepada para pelajar.

“Saya mewakili seluruh warga KUIPs berikrar untuk bekerja keras bagi menjayakan matlamat penubuhan KUIPs sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam. Kami (KUIPs) komited dan beriltizam untuk menggalas tanggungjawab mendidik serta melahirkan lebih ramai teknokrat Muslim yang bakal menjadi penerus kesinambungan tugas fi al-ardh khalifah, iaitu menjadi pentadbir dan pengimarah kepada alam yang dicipta oleh Tuhan semesta alam,” ucap Dr. Rozaimi Ramle sewaktu mengakhiri ucapan beliau.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis bergambar bersama-sama penerima Anugerah.

Sepintas lalu, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah mula ditubuhkan pada 17 Jun 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 dengan jumlah pelajar seramai 61 orang terdiri daripada dua program pengajian, iaitu Asasi Muamalat dan Diploma Perbankan Islam. Sehingga November 2022, terdapat lebih 20 program pengajian yang ditawarkan di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah doktor falsafah (PhD) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan JPT. Pengambilan dan kemasukan pelajar baharu KUIPs dibuka dua kali setahun, iaitu ambilan Februari dan juga September bagi kesemua fakulti, iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, serta Fakulti al-Quran dan Sunnah. Bagi yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di KUIPs, bolehlah layari www.kuips.edu.my untuk maklumat lanjut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.