11 November 2022, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Simposium Penceramah/Fasilitator Kursus Praperkahwinan Islam dan Pascaperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 2022 baru-baru ini dalam usaha memastikan penyampaian modul yang sentiasa relevan dengan keperluan, isu serta cabaran semasa.

Simposium yang berlangsung selama sehari ini bertemakan “Lelaki Qawwam, Lelaki Dambaan Syurga” sebagai antara usaha menyebar luas kefahaman berkaitan dengan kepentingan untuk memperkasa dan menampilkan keupayaan lelaki sebagaimana acuan al-Quran dan hadis. Dengan dihadiri oleh seramai 400 orang penceramah dan fasilitator kursus praperkahwinan dan pascaperkahwinan Islam dari seluruh Malaysia, simposium ini dilihat berjaya mencapai hasrat dan objektifnya.

Forum ini secara tidak langsung dapat memberikan penjelasan yang lebih tuntas kepada semua peserta simposium sebagai usaha menambah baik pengendalian modul bagi kedua-dua kursus ini.

Pengarah Kanan, Bahagian Dasar dan kemajuan Islam JAKIM, Ustaz Aminuddin Mohamad ketika membaca teks ucapan perasmian mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff.

Simposium ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan, Bahagian Dasar dan Kemajuan Islam JAKIM, Ustaz Aminuddin Mohamad bagi mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff. Menurut beliau, simposium ini secara tidak langsung menunjukkan betapa JAKIM mengambil serius berkaitan dengan usaha mengangkat peranan lelaki untuk memperkasa dan memperkukuh institusi keluarga, sosial dan masyarakat.

“Islam telah mensyariatkan hukum perwalian untuk memperlihatkan peranan lelaki sebagai ketua keluarga yang tidak terhad hanya dalam peranan sebagai bapa, anak lelaki dan abang semata-mata tetapi turut melangkaui peranan mereka sebagai datuk, bapa saudara, anak saudara dan seterusnya,” katanya.

Tambah beliau, menyedari kepentingan lelaki sebagai ketua dan pemimpin, pelbagai agensi kerajaan termasuk JAKIM telah mengambil inisiatif melaksanakan program untuk memperlihatkan kepentingan kepimpinan mereka dalam keluarga dan sosial amnya. Pihak JAKIM juga telah memperkenalkan inisiatif “Lelaki Qawwam” bagi mengukuhkan pemerkasaan tanggungjawab dan peranan golongan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada wanita, ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Penghayatan agama masih perlu dipertingkatkan kerana percampuran tradisi dalam kehidupan berkeluarga ada kalanya menyebabkan kepincangan dalam memanifestasikan amalan agama dalam kehidupan. Penghayatan yang baik dalam amalan beragama akan melahirkan watak lelaki beriman yang benar-benar dihormati, dikagumi dan bertanggungjawab,” tambahnya.

Barisan tetamu kehormat bergambar bersama para peserta simposium.

Beliau juga mengingatkan peserta agar menyesuaikan penyampaian modul bagi kursus praperkahwinan Islam dan pascaperkahwinan Islam dengan input dan maklumat berkaitan dengan Inisiatif Lelaki Qawwam selain urut menyarankan agar semua peserta melaksanakan tugas sebagai penceramah dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Simposium yang berlangsung di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya turut bersiaran langsung secara dalam talian melalui Facebook JAKIM. Rakaman ini boleh ditonton di https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/videos/ 537453481067671.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.