10 November 2022, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal amal anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini. Program tersebut disekalikan dengan aktiviti rutin baginda melalui MAIPs Peduli Bilangan Ke-73 bagi tahun 2022.

Dalam program tersebut, baginda tuanku turut berkenan berangkat singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah.

Turut sama mengiringi baginda ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Terdahulu daripada itu dalam program berasingan di Kuala Perlis pula, pihak Bank Rakyat telah menganjurkan pertandingan mewarna bertemakan “Nuri Kuasa 10” dengan melibatkan seramai 50 kanak-kanak dari Tabika KEMAS Kuala Perlis, Tadika Islam Perlis Seberang Ramai dan Prasekolah Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai.

Nuri Kuasa 10 merupakan suatu bentuk galakan Bank Rakyat kepada kanak-kanak untuk mempraktikkan amalan menabung sebagai satu tabiat rutin tanpa tekanan di samping meningkatkan literasi atau celik kewangan. Untuk rekod, Nuri Kuasa 10 telah bermula sejak 1 Oktober 2022 dan akan terus berlangsung hingga 31 Januari 2023 yang turut menyokong inisiatif Bulan Literasi Kewangan 2022 anjuran bersama Bank Negara Malaysia dan Jaringan Pendidikan Kewangan.

Bank Rakyat juga telah menyerahkan kelengkapan persekolahan Kelab Nuri, iaitu beg sekolah dan set pakaian lengkap seperti tudung, baju, seluar, stoking serta kasut  kepada 350 murid di empat buah sekolah di Perlis bagi meringankan beban ibu bapa murid B40 mengurus perbelanjaan sekolah anak masing-masing.

“Sesungguhnya, pelbagai pendekatan baharu CSR yang dilaksanakan di negeri Perlis pada kali ini menunjukkan komitmen Bank Rakyat yang sentiasa berusaha untuk memberi semula kepada masyarakat dengan penganjuran pelbagai aktiviti bermanfaat menerusi inisiatif jangkauan komunitinya bagi membantu usahawan, koperasi serta masyarakat secara menyeluruh di samping pelaksanaan program kelestarian bagi menjamin kesejahteraan alam sekitar dan membentuk komuniti lestari,” titah tuanku Raja Muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.