1 November 2022, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Rakyat negeri Perlis diingatkan bahawa pegangan Islam di negeri itu harmoni untuk semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama. Islam yang diajar di negeri Perlis hendaklah bersifat universal, iaitu kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama.

Sehubungan dengan itu, pendekatan Islam yang diajar di masjid, sekolah dan kepada rakyat jelata hendaklah bebas daripada unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan kaum, parti politik dan agama.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Simposium Guru Agama, NGO’s Islam dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2022 yang diadakan di Auditorium Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Kangar hari ini.

Setelah melihat kepentingan menuntut ilmu agama dalam kehidupan harian kita, maka semua kepimpinan utama dan jentera pentadbiran Kerajaan, para asatizah, NGO’s Islam dan para pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis serta semua rakyat yang menetap dan bekerja di negeri Perlis hendaklah benar-benar memahami pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Tambah Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs lagi, ‘Pegangan negeri Perlis adalah tidak taasub kepada mana-mana mazhab fikah, tetapi sentiasa berusaha menepati al-Quran dan sunah. Maka itu, kita semua hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan dan memperteguh pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.’

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.