27 Oktober 2022, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mukjizat bermaksud perkara luar biasa yang berlaku kepada nabi dan rasul, serta sesuatu yang bertujuan untuk melemahkan musuh. Oleh itu, mukjizat yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bertujuan untuk melemahkan musuh Islam. Mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Baginda ialah al-Quran yang masih ada dengan kita hingga hari ini.

Akhlak Rasulullah SAW juga merupakan kurniaan Allah SWT khusus kepada Baginda sebagai ikutan seluruh manusia. Oleh hal yang demikian, segala yang terkandung dalam perutusan Rasulullah SAW meliputi pertuturan, perbuatan, cara hidup, cara Baginda berurusan, berkomunikasi, mentadbir dan mengurus, semuanya menjadi contoh (qudwah hasanah) bagi seluruh manusia.

 

Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff.

Menurut Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff, bahasa merupakan antara mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW sehingga menyebabkan orang tertarik kepada dakwah Baginda.

Apabila Nabi Muhammad diutus dalam kalangan orang Arab, kekuatan yang ada pada Baginda ialah bahasa. Al-Quran juga diturunkan dalam bahasa Arab. Oleh itu, bahasa memainkan peranan penting ketika Baginda berdakwah sehingga para sahabat berkata, ‘sesungguhnya pada kata-kata nabi itu ada ayat yang menusuk kalbu.’ Pertuturan Rasulullah SAW amat lunak sehinggakan orang yang sedang marah kepada Baginda juga boleh tertarik dan tertawan dengan apa-apa yang dituturkan oleh Baginda.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum Maulidur Rasul 1444H  yang mengangkat topik “Mukjizat Akhlak Rasulullah SAW” anjuran Surau al-Hukama’, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur yang diadakan di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir,  Wisma DBP pada pagi tadi. Program tersebut dikendalikan oleh Ustaz Haji Zakaria Othman sebagai moderator.

Ustaz Haslin Baharim.

Menurut Ustaz Haslin Baharim yang juga merupakan ahli panel dalam forum tersebut, bahasa amat penting dalam komunikasi seharian. Kita hendaklah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua orang dan berhati-hati menggunakan lidah. Hati juga mesti dijaga kerana pertuturan seseorang  bermula daripada hati. Akhlak inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak akan lurus iman seseorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Akhlak Rasulullah SAW yang patut dicontohi juga ialah Baginda tidak pernah berkata sesuatu yang buruk atau mencerca makanan. Sekiranya Baginda tidak gemar, maka Baginda tidak memakannya dan hanya diam. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa, “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun mencela makanan. Sekiranya Baginda berselera, Baginda akan makan, dan sekiranya Baginda tidak suka, Baginda akan meninggalkannya. (Hadis riwayat Abu Dawud).

Dari segi kepimpinan Rasulullah SAW pula, ketika berada bersama-sama orang yang lemah, Baginda sangat menyantuni mereka dan ketika bersama-sama orang yang memusuhi Baginda pula, Baginda bersabar dan menggunakan diplomasi dalam perundingannya.

Ustaz Haji Zakaria Othman sebagai moderator.

Menurut Dato’ Dr. Izhar, Rasulullah SAW mempunyai tiga keistimewaan dalam kepimpinan Baginda, iaitu:

  1. Bijaksana, iaitu meletakkan sesuatu hak pada tempatnya. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW boleh berhadapan dalam apa-apa jua keadaan sekalipun.
  2. Baginda Rasulullah SAW tidak hanya mengarah, malah turut sama dalam sesuatu pekerjaan yang diarahkan. Contohnya, dalam peperangan Khandak, Baginda merupakan orang pertama yang turun berperang, malah Baginda juga menjadi orang terakhir yang makan dan minum.
  3. Rasulullah SAW tidak bercakap tentang sesuatu kecuali  perkara yang betul dan perkara yang betul-betul Baginda mampu lakukan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.