16 Oktober 2022, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa agar dapat sama-sama membantu menyemarakkan amalan berwakaf dan menjadikannya sebagai satu budaya. Hal ini dikatakan demikian kerana memandangkan instrumen wakaf, khususnya wakaf tunai sebagai sumber kewangan yang mapan dan dinamik telah terbukti berimpak tinggi dalam membantu pihak pemerintah untuk melengkapkan segala prasarana asas dan kemudahan kepada seluruh komuniti.

“Wakaf air misalnya, dilihat sebagai usaha yang baik bagi menghidupkan amalan kelestarian dalam kalangan rakyat, terutamanya apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air,” jelas baginda.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tambah baginda lagi, “Sumbangan wakaf daripada orang ramai atau badan swasta boleh diuruskan dengan baik bagi membiayai projek pembangunan infrastruktur air berskala kecil seperti menggali perigi, membina empangan mini serta membeli peralatan untuk pengepaman, pemasangan paip, saliran, tapisan dan tangki takungan air. Infrastruktur air ini juga dapat memastikan bekalan air kepada masyarakat akan berterusan. Hal ini membantu menyelesaikan isu bekalan air, terutamanya di pedalaman dan luar bandar, yang lokasinya jauh daripada paip utama, begitu juga kemudahan untuk pemantauan kualiti dan tahap pencemaran air berasaskan teknologi terkini seperti sistem pintar dan Internet pelbagai benda (IoT).”

Tuanku Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Bersih dan Terawat Sempena Program Pemacu Komuniti VentureTECH, Tahun 2022” yang diadakan di Kampung Lubuk Machang, Batu Bertangkup tengah hari tadi.

Projek tersebut yang merupakan tapak Program Pemacu Komuniti pertama di negara ini hasil kolaborasi pihak VentureTECH bersama-sama syarikat penerima pelaburannya, ACME Chemicals (M) Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Inisiatif ini bagi baginda merupakan satu bentuk usaha murni dan keprihatinan badan korporat dalam memastikan kesejahteraan seluruh masyarakat khususnya kepada komuniti sasaran kampung di negara ini bagi mendapat keperluan asas yang sempurna terutamanya  bekalan air yang bersih dan berkualiti.

Menyambut keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industry-Government Group For High Technology (MIGHT), Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman; Pengarah Urusan VentureTECH, Dr. Norida Abdul Rahman dan Pengarah Urusan ACME Chemicals (M) Sdn. Bhd., Encik Fouzi Yunus.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Perancang Ekonomi Malaysia, Datuk Dr. Zunika Mohamed; Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan sekalung penghargaan kepada anakanda baginda, Sharifah Khatreena yang telah menjadi pencetus idea dalam usaha menambah baik infrastruktur bahagian pengairan ini dan telah berperanan menjadi jambatan penghubung antara MAIPs serta YTSP Perlis dengan VentureTECH bersama ACME Chemicals (M) Sdn. Bhd.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.