9 Oktober 2022, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan ulang tahun kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Dalam majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan titah untuk renungan para hadirin yang berada dalam majlis tersebut dan masyarakat umumnya.

Yang berikut diperturunkan titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis tersebut.

______________________________________________________________

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah semasa bertitah di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah Peringkat Negeri Perak.

Bismillahirahmannirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Meskipun Rasulullah SAW telah wafat 1389 tahun yang lalu, masyarakat Islam di serata dunia terus menganjurkan pelbagai acara bagi memperingati tarikh keputeraan Baginda.  Acara yang dianjurkan tidak sama dengan bentuk sambutan hari lahir atau birthday celebration yang diadakan oleh insan biasa yang meraikan hayat usia yang terus dikurniai Ilahi. Sambutan memperingati keputeraan Rasulullah SAW dianjurkan dengan niat dan tujuan mahu mengingatkan ummah akan legasi yang telah diwariskan, terutama kewibawaan kepimpinan Baginda yang berjaya membangunkan ummah mencapai kecemerlangan.

2. Rasulullah SAW diutus membawa risalah yang terbukti berjaya memakmurkan alam. Baginda amat tersentuh apabila menyaksikan penderitaan dan kesusahan yang menimpa umatnya. Baginda berusaha membimbing umatnya menemui kebenaran. Baginda menginginkan umatnya memperoleh manfaat, semasa berada di dunia begitu juga apabila menempuhi alam akhirat.

3. Sewaktu Baginda diangkat sebagai rasul, masyarakat Arab Mekah berada dalam era jahiliah, pada tahap yang sangat naif; kehidupan yang dilingkungi perbuatan-perbuatan khurafat, kaum wanita diperdagangkan, hubungan antara kaum dilingkari kecurigaan dan permusuhan, mengakibatkan berlakunya persengketaan dan peperangan sesama mereka. Pihak yang memiliki kuasa hanya memikirkan kuasa dan kekayaan tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.

4. Persekitaran yang sedemikian turut mempengaruhi tahap pencapaian ekonomi negara dan rakyat. Sektor pembuatan dan pertukangan berada pada tahap yang mundur. Bidang perusahaan yang dibawa masuk dari Yaman, Hirah dan Syam, terbatas kepada kegiatan seperti jahitan dan memproses kulit. Walaupun terdapat kegiatan ekonomi dalam sektor pertanian dan penternakan, namun disebabkan persengketaan dan peperangan yang sering berlaku, harta dan barangan terdedah kepada rampasan, yang mengakibatkan berlakunya fenomena kemiskinan, kelaparan dan ketiadaan pakaian.

5. Umat ketika itu mengalami keruntuhan hidup yang keterlaluan, rakyat merana dan papa kedana. Rakyat dicabuli, dianiaya, dizalimi, hidup berpecah belah, berpuak dan berkasta; yang berkuasa sewenang-wenang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan menimbunkan harta. Nabi Muhammad SAW membawa pengislahan dan memperkenalkan nilai-nilai baharu yang memenuhi harapan hidup yang dinanti-nantikan. Ummah dibangunkan dengan tonggak-tonggak suci, dibekalkan pengetahuan dan dibina keyakinan, ditebus maruah dan dikembalikan kehormatan, dipertingkatkan taraf hidup dan diberikan hak kepada yang berhak.

6. Sebaik Baginda diangkat sebagai rasul, gerakan pembangunan ummah dirintis. Selama 13 tahun gerakan dakwah dilakukan di Mekah dalam usaha Baginda mahu menganjak paradigma masyarakat kepada pandangan hakiki berpaksikan akidah Yang Esa. Baginda gigih berusaha memperbetul budaya masyarakat supaya meninggalkan budaya hidup yang jahil, kembali kepada fitrah insani, memiliki hati yang suci serta minda yang murni.

7. Pembaharuan yang dibawa oleh Rasulullah SAW memberikan nafas baharu dalam pembangunan khaira ummah; lalu terbentuk sebuah masyarakat yang tersusun dengan sistem pemerintahan berpaksikan peraturan perundangan (rule of law) yang dapat mengawal pihak yang berkuasa, demikian juga individu. Baginda mempelopori konsep pembangunan ummah yang komprehensif, memberikan kesejahteraan kepada semua insan, tanpa mengkhususkan kepada individu atau kelompok tertentu sahaja. Selain itu, diperkenalkan pembangunan berlandaskan perspektif Islam yang merangkumi pembangunan moral dan pembangunan rohani, di samping pembangunan material; pembangunan yang menjurus kepada kesejahteraan sosioekonomi secara adil lagi saksama, berorientasikan matlamat dan aktiviti yang dapat merealisasikan nilai, melibatkan penyertaan aktif ummah agar terarah mencapai kesejahteraan insan secara optimum dalam pelbagai dimensi.

8. Siapakah yang menjadi tenaga aktif dalam gerakan pembangunan ummah yang dipelopori oleh Rasulullah SAW? Tafsir Ibnu Katsir menyebut, majoriti yang menerima baik seruan para nabi ialah kalangan muda. Pengikut-pengikut Baginda yang membentuk generasi pertama Islam kebanyakannya terdiri daripada kalangan belia, yang menunjukkan sifat bersedia menerima pembaharuan. Mereka merupakan kumpulan terawal bersedia menerima dakwah Islamiah. Sayidina Abu Bakar r. a.  memeluk Islam ketika berusia 38 tahun, Sayidina Umar al-Khattab  r. a. memeluk Islam ketika berusia 28 tahun;  bahkan dalam kalangan yang hati mereka terbuka menerima Islam, ada yang masih belum mencapai usia baligh, paling muda ketika itu, Sayidina Ali ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah berusia sembilan tahun, dan Zubir bin Awam berusia lapan tahun; termasuk dalam usia belia ialah Ja’far bin Abi Talib, berusia 18 tahun, Qudhamah bin Abi Maz’un berusia 19 tahun, Said bin Zahid dan Shahib al-Rumi berusia 20 tahun, Amir bin Fahirah berusia 23 tahun, Mus’ab bin Umar dan Mikdad bin Aswad berusia 26 tahun.  Abdullah bin Mas’ud yang memeluk Islam ketika berusia 18 tahun, secara berani memperdengarkan bacaan al-Quran buat julung kalinya di khalayak kafir Quraisy, mengakibatkan beliau pulang dengan muka yang luka berdarah. Malah ramai lagi para pemuda berusia di bawah 30 tahun menjadi pengikut awal Baginda. Anak-anak muda inilah yang berada di barisan hadapan menerima pembaharuan, dan bersama-sama Baginda dengan berani lagi gigih memperjuangkan dakwah Islamiah, membawa panji-panji Islam serta berperanan sebagai panglima untuk memimpin kaum Muslimin.

9. Dalam sirah diceritakan, Rasulullah SAW ialah contoh terbaik dalam membimbing belia agar sentiasa taat beribadat kepada Allah SWT, taat kepada pemimpin, sayang kepada negara, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, bersih jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan. Baginda membimbing para belia mencorakkan diri agar bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara dan seterusnya menyediakan belia yang dikagumi. Baginda meletakkan pemuda di kedudukan istimewa.

10. Nyatalah Rasulullah SAW mengiktiraf golongan belia. Baginda yakin keupayaan para belia, lantas mengamanahkan tanggungjawab dan peranan penting kepada mereka.  Itab bin Usaid r. a. ketika berusia 21 tahun, dilantik menjadi pemimpin kota Mekah; Usamah bin Zaid r. a.  dilantik memimpin pasukan tentera untuk menentang Kerajaan Rom di Syam ketika berusia 18 tahun; dan Zaid bin Tsabil yang sewaktu Perang Badar bergabung dengan Islam ketika berusia 11 tahun, diangkat oleh Baginda menjadi pembantu untuk menulis wahyu.

11. Ayat 83 Surah Yunus bermaksud: “Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahawa Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyeksa mereka…” Ayat tersebut menggambarkan sifat berani para pemuda menerima kebenaran ajaran yang disampaikan oleh Nabi Musa a. s.  dalam persekitaran majoriti penduduk terlalu takut untuk menentang Firaun.

12. Justeru itu, meremajakan gerakan pembangunan ummah yang menjadi wacana pada hari ini merupakan kesinambungan usaha yang pernah dilaksanakan oleh para rasul berpandukan kisah mengenai peranan bermakna angkatan muda seperti yang terkandung antaranya dalam Surah An-Nisaa, Yunus, Yusuf, Al-Kahfi, dan Al-Anbiya. Digambarkan dalam Surah Yusuf, kekacakan paras dan sosok tubuh pemuda bernama Yusuf, memiliki sifat beriman, adil, penyabar, kasih sayang, hormat kepada orang tua, tidak pendendam, pemaaf, dermawan dan bertakwa kepada Allah SWT. Dikisahkan melalui ayat 60, Surah Al-Anbiya yang bermaksud, “Mereka berkata, ‘Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim’.” Ayat tersebut menggambarkan sifat seorang pemuda yang berani, kritis, logis dan revolusioner yang dipamerkan melalui Nabi Ibrahim a. s. Terkandung dalam ayat 10 dan ayat 13 Surah al-Kahfi, kisah pemuda Ashabul Kahfi yang teguh iman mereka, bersedia melarikan diri, bersembunyi di dalam gua, kerana mahu memelihara akidah. Mereka tidak terpengaruh dengan imbuhan, mereka tidak gentar dengan desakan, dan mereka tidak gementar dengan ancaman pemerintah yang zalim.

13. Sejarah mencatatkan anak muda memiliki karisma – memiliki kewibawaan – memiliki kehebatan untuk mencipta kejayaan apabila diberikan peluang seperti yang dibuktikan oleh Muhammad al-Fatih, mewarisi takhta Kesultanan Uthmaniyyah ketika berusia 19 tahun dan pada usia 21 tahun berjaya menakluki Constantinople. Alexander The Great mewarisi takhta pemerintahan Macedonia ketika berusia 20 tahun, sementara Salahuddin al-Ayubi menjadi Sultan di Mesir dan Syria, mengasaskan dinasti Ayubbi ketika berusia 37 tahun. Ketika memimpin gerakan kemerdekaan Indonesia, Soekarno melaungkan ungkapan, “Beri aku sepuluh pemuda, maka akan kugoncang dunia”.

14. Pada era ini, Malala Yousafzai, Greta Thumberg, Jayen Arnold, Marley Dias, Isra Hisri, Sophie Cruz, Jasilyn Charger, Jazz Jennings, Param Jaggi dan Abigail Lupi merupakan sepuluh orang anak muda, yang telah mengubah dunia melalui gerakan mereka. Malala Yousafzai diiktiraf sebagai aktivis memperjuangkan pendidikan wanita, pemenang Nobel Peace Prize termuda, menerima anugerah tersebut ketika berusia 17 tahun.  Greta Thunberg pada usia 15 tahun, mencabar pemimpin dunia dan kini diiktiraf sebagai aktivis yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar. Abigail Lupi ketika berusia 10 tahun telah mengasaskan Care Girlz, sebuah organisasi yang berusaha menangani masalah kesunyian yang dialami oleh penghuni rumah orang tua. Dalam kalangan penerima anugerah JCI Ten Outstanding Young Persons of the World, Wassim Dhaouadi dari Tunisia, pada tahun 2020, ketika berusia 22 tahun, berjaya merungkaikan masalah fizik yang menjadi misteri selama lebih 100 tahun, dan Aaron Hannon dari Ireland berjaya menghasilkan pelbagai inovasi daripada kawalan serangga merentas ke kereta Formula One, selanjutnya merintis usaha untuk menghasilkan alat pengudaraan (ventilator) berharga murah kerana berhasrat membantu memenuhi keperluan pesakit COVID-19 yang miskin.

15. Kita juga memiliki contoh yang boleh dijadikan teladan. Ketika Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka, Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra berusia 52 tahun. Namun Yang Teramat Mulia Tunku dibantu oleh pasukan berusia muda. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak berusia 35 tahun, dan antara anggota jemaah menteri, Tun Dr. Ismail berusia 42 tahun, Tun Tan Siew Sin berusia 41 tahun, dan Tun Sambanthan berusia 38 tahun.

16. Dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan, Dato’ Seri Aminuddin Baki menjawat jawatan Ketua Penasihat Pelajaran ketika berusia 36 tahun, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz mencetus idea penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan menjadi Ketua Pengarah Pertama ketika berusia 34 tahun. Dr. Ungku Umar diamanahkan tanggungjawab sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan ketika berusia 34 tahun, dan Tun Mohammed Hanif Omar diamanahkan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara ketika berusia 35 tahun. Dalam bidang kehakiman dan perundangan, Tan Sri Abu Talib Othman menjawat jawatan Peguam Negara ketika berusia 35 tahun, sementara Paduka Ayahanda Beta, Raja Azlan Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ketika berusia 37 tahun, mencatat rekod sebagai hakim termuda antara hakim-hakim Mahkamah Tinggi di negara Komanwel. Di negeri Perak, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin diiktiraf sebagai tokoh ilmu falak ketika berusia 30 tahun dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir semasa berusia 27 tahun telah berjaya menubuhkan Maahad Al-Ehya Assharif di Gunung Semanggol pada tahun 1934.

Perkembangan teknologi membawa kita ke arah pemikiran yang lebih terbuka.

17. Dunia hari ini berada dalam ledakan teknologi yang semakin berkembang dan berdaya saing. Revolusi Perindustrian Keempat semakin membawa perubahan terhadap tatacara dunia beroperasi melalui kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI), mesin ke mesin (Machine to Machine – M2M) dan Internet benda (Internet of Things – IoT).  Perkembangan yang sedang berlaku seharusnya membawa kita ke arah pemikiran yang lebih terbuka memandang ke hadapan. Kita tidak seharusnya terus membiarkan diri terbelenggu dalam kejahilan yang disengajakan. Kita juga tidak seharusnya berkompromi membenarkan eksploitasi disuburkan hingga membudayakan ketidakadilan dan perlakuan tidak bermoral untuk dipusakai menjadi tradisi.

18. Islam tidak menolak pembaharuan selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunah. Islam tidak menafikan pentingnya dilakukan transformasi yang membawa manfaat kepada ummah. Keadaan dan zaman yang terus berubah, sudah pasti mengkehendaki cara dan pendekatan baharu yang bersesuaian dengan maslahat semasa.   Cara dan pendekatan baharu turut memerlukan tenaga baharu, tenaga yang segar – tenaga yang dinamik, tenaga yang menguasai daya kekuatan berfikir dan tenaga yang memiliki zahir yang cerdas, tenaga penggerak yang lebih memahami persekitaran dan cabaran semasa untuk membina masa hadapan yang lebih terjamin.

19. Sudah menjadi sunah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi. Gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari melalui usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan, seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat berlaku. Kita perlu berani mewasiatkan tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda, agar tenaga muda, berpeluang berperanan lebih aktif dan lebih efektif, menterjemahkan idealisme kepada realiti, berkompas minda yang dahagakan pembaharuan, menyuburkan pemikiran intelek dengan daya analitis, daya kritis, daya kreatif dan daya inovatif, mengetengahkan perspektif yang berbeza dalam menyelesaikan masalah melalui perekayasaan dan pemikiran semula kaedah-kaedah lama yang semakin usang. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.”

20. Menyedari potensi dan karisma yang dimiliki oleh golongan remaja, dan dalam semangat mempercayai golongan remaja merupakan satu tenaga penggerak yang wajib dihargai, pada 19 Mac 2021, Beta memperkenankan buat pertama kalinya, melantik dua orang dalam usia belia, seorang lelaki dan seorang perempuan sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak; disusuli kemudiannya melantik wakil belia dalam Jawatankuasa Baitulmal pada peringkat negeri dan daerah, serta dalam jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri.

21. Alhamdulillah pelaburan yang dilakukan mula menunjukkan dividen. Para belia telah menjunjung amanah yang diberikan dengan menyuntik idea dan pembaharuan dalam program-program yang berupaya menarik minat dan menjinakkan golongan remaja dengan masjid, surau dan aktiviti keagamaan. Ketika menzahirkan titah sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak pada 30 Julai lalu, Beta menyeru para belia agar menawarkan diri – menawarkan pimpinan membangunkan program briged muda petani moden sebagai langkah menangani isu keselamatan makanan. Beta sukacita mengikuti berita pada 25 September, Yang Berhormat (YB) Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad telah melancarkan Briged Muda Petani Moden. Belia di negeri Perak merupakan organisasi belia pertama di negara ini yang merintis usaha menubuhkan Briged Muda Petani Moden, satu usaha dan langkah yang terpuji lagi membanggakan.  Beta menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada para belia di negeri Perak dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada YB Menteri Besar yang telah meluluskan peruntukan kewangan untuk membantu usaha para belia.

22. Tamadun Islam yang dibangunkan oleh Rasullullah SAW perlu diperkasa sebagai bukti kecintaan kita kepada Baginda. Legasi yang diwarisi daripada Baginda wajib disegarkan melalui pendekatan meremajakan gerakan pembangunan ummah dengan melibatkan penyertaan aktif lebih ramai belia. Golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu, berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan (game changer).  Golongan remaja wajib didampingi, suara golongan remaja wajib didengari, pandangan golongan remaja wajib difahami, kehadiran golongan remaja wajib diiktiraf, agar dapat dilaksanakan program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa. 

23. Kepada Allah SWT kita berserah, memohon hidayah dan taufik-Nya, agar kita dianugerahkan kesungguhan dan keikhlasan, mencorakkan perubahan, meremajakan gerakan pembangunan ummah demi membina masa hadapan yang lebih gemilang.

Wabillahi taufiq wal hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.