8 Oktober 2022, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Ketri – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai kayuhan amal anjuran Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) yang bermula dan berakhir di perkarangan Kilang CIMA di Bukit Ketri.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan disekalikan dengan aktiviti rutin MAIPs Peduli Bilangan ke-66 bagi tahun 2022.

Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf dalam kalangan anak kariah Masjid As Solihin, Kampung Bawah Bukit, Chuping.

Baginda tuanku juga berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf dalam kalangan anak kariah Masjid As Solihin, Kampung Bawah Bukit, Chuping, dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf yang tinggal di kampung sekitar.

Terdahulu daripada itu, selaku Pengerusi YTSP Perlis, Tuanku Raja Muda turut menyerahkan sumbangan daripada pihak yayasan kepada lima orang dalam kalangan masyarakat Siam Perlis yang memerlukan di Pusat Komuniti Wat Suwankhiri Kampung Guar Musang, Panggas.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi CIMA Berhad, Dato’ Zaiviji Ismail dan pengarah urusannya, Sharuddin Omar Hashim.

Dato’ Zaiviji memaklumkan bahawa beliau sendiri secara peribadi amat teruja kerana buat pertama kalinya dapat turut serta menyertai program kemasyarakatan seperti ini, berkayuh sambil beramal mengiringi Tuanku Raja Muda yang amat prihatin dan dekat di hati rakyat.

Beliau memaklumkan bahawa sejak mula beroperasi di Perlis pada tahun 1972, CIMA telah giat melaksanakan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial berteraskan pendidikan dan kebajikan masyarakat di negeri ini. Program tersebut antaranya termasuklah penganjuran program tuisyen dan inisiatif pendidikan tambahan, sumbangan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan, serta usaha menambahbaik atau membaik pulih fasiliti serta kemudahan awam di sekitar kawasan operasinya.

“Semoga hubungan yang terjalin antara CIMA dan MAIPs serta YTSP Perlis yang kedua-duanya dinaungi oleh Tuanku Raja Muda Perlis ini akan bertambah erat, dan mudah-mudahan usaha murni kita ini akan diredai dan diberkati oleh Allah SWT,” katanya.

Untuk rekod, CIMA menyambut ulang-tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.