5 Oktober 2022, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Wacana Pemikiran Almarhum Profesor Dr. Yusuf al-Qaradawi telah bersiaran menerusi laman Facebook Rasmi Universiti Selangor (UNISEL) semalam bertempat di Dewan Kuliah 2, Bangunan Berlian, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam. Wacana ini telah menampilkan YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan YBhg. Dr. Rosli Mokhtar, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Wacana bertajuk “Ilmuwan Tersohor Ensiklopedik Dunia Islam” ini merupakan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dengan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF) dan Institut Darul Ehsan (IDE). Penganjuran wacana ini merupakan satu penghormatan besar terhadap keunggulan pemikiran dan sumbangan Allahyarham Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam dunia Islam mutakhir, meskipun beliau telah meninggal dunia pada 26 September 2022 di Doha, Qatar. Sumbangan al-Qaradawi dalam dunia Islam dan tamadun Islam sewajarnya dimartabatkan ke tahap tertinggi.

Dalam ucapan perasmian oleh Profesor Dr. Mohd Noor Nawawi, Pengarah Pusat Kecemerlangan UNISEL, beliau menjelaskan bahawa keunggulan pemikiran dan karya al-Qaradawi sentiasa menjadi rujukan bermutu dalam dunia Islam kini. Kejayaan al-Qaradawi menghasilkan sebanyak 120 karya telah berjaya menjawab pelbagai persoalan mutakhir dalam dunia Islam. Sepanjang hayatnya, al-Qaradawi telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan seperti Anugerah Raja Faisal oleh kerajaan Arab Saudi, Anugerah Sultan Hassanal Bolkiah oleh kerajaan Brunei Darussalam dan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah 1431/2009 oleh kerajaan Malaysia.

Profesor Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali.

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, penghijrahan al-Qaradawi ke Qatar telah berjaya menubuhkan sekolah agama, sekolah menengah agama dan menubuhkan universiti pengajian Islam. Kejayaan ini dianggap sebagai sumbangan terbesar al-Qaradawi dalam dunia Islam. Secara keseluruhannya penglibatan beliau bersama-sama Ikhwan al-Muslimin menyerlahkan keluasan pemikiran Islam dalam aspek ibadat dan ekonomi, selain bercita-cita tinggi untuk membela umat Islam sedunia dan membebaskan umat Islam di Palestin daripada kekejaman rejim Zionis di bawah pemerintahan Israel.  

Dr. Rosli Mokhtar.

              Selain itu, kekuatan pemikiran al-Qaradawi menurut kajian Dr. Rosli Mokhtar, terletak pada kaedah atau manhaj yang digunakan dalam dakwah Islamiah. Hasilnya, kejayaan al-Qaradawi menerbitkan buku berjudul Fiqh al-Aulawiyat (1994) pada tahun 1994 yang telah membincangkan kajian asli Fiqh al-Aulawiyat dalam perspektif Islam dan aplikasi fiqah semasa. Oleh itu, penerbitan Fiqh al-Aulawiyat (1994) menurut hujah Dr. Rosli Mokhtar menunjukkan pemikiran maqasid syariah mengalami pusingan yang cepat dalam perkembangan dunia Islam. Ringkasnya, al-Qaradawi juga telah menghasilkan Fatawa Mu’assim dalam perkembangan maqasid syariah yang mengupas kefahaman realiti semasa dunia Islam.

Secara keseluruhannya, ketegasan al-Qaradawi membela umat Islam di Palestin menurut penegasan Profesor Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali menunjukkan ketegasan beliau untuk tidak melaksanakan perdamaian dengan pihak Israel. Jelaslah bahawa ketegasan al-Qaradawi menentang perdamaian dengan pihak Israel mencerminkan usaha ke arah membela maruah umat Islam di Palestin demi kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.

Sumber Foto: Facebook Rasmi Universiti Selangor (UNISEL).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.