1 Oktober 2022, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dengan kerjasama Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PWM) dan Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) telah berjaya menerima sumbangan wakaf al-Quran sebanyak RM226 188.00 daripada sekolah-sekolah di seluruh ibu kota. Sebanyak 3000 naskhah mushaf al-Quran akan diserahkan kepada 178 buah sekolah yang terdiri daripada 97 buah sekolah rendah, 40 buah sekolah menengah dan 41 buah sekolah rendah agama di Kuala Lumpur.

Lima sekolah terpilih dalam fasa pertama penyerahan Wakaf Al-Quran Pendidikan.

Fasa pertama program ini melibatkan 178 buah sekolah dengan lima buah sekolah terpilih sebagai sekolah Rintis Wakaf Al-Quran Pendidikan, iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 1, Sekolah Kebangsaan Setapak, Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan 2, Sekolah Kebangsaan Seri Bonus dan Sekolah Kebangsaan Jalan Air Panas.  Setiap sekolah rintis ini menerima 100 naskhah al-Quran dalam Majlis Penyerahan Wakaf Al-Quran Pendidikan yang diadakan di Auditorium Tan Sri Abdullan Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan, JPWPKL, Puan Hajah Norhayati Ab Wahab.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berusaha keras bagi merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek (JERI) dengan memperkenalkan pendidikan al-Quran sebagai asas bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan sejahtera.  Usaha ini mengetengahkan program yang besar dalam sistem pendidikan negara yang dinamakan dengan “Program j-QAF” (jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Asas Fardu Ain). Program ini adalah pengukuhan kepada kurikulum Pendidikan Islam yang diajar di sekolah.

Program Wakaf Al-Quran Pendidikan bermatlamat untuk memastikan semua murid sekolah di ibu kota memiliki senaskhah al-Quran dan  menguasai bacaan kitab suci tersebut.

Melalui pembudayaan dan penghayatan al-Quran, diharapkan usaha ini akan memberikan impak yang besar ke arah melahirkan warganegara yang menghayati nilai moral dan etika serta mengamalkan peradaban tinggi dan bertanggungjawab.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan dan wakaf, serta bekerjasama dengan JPWKL dalam merealisasikan matlamat ke arah memastikan semua murid sekolah di ibu kota memiliki senaskhah al-Quran dan seterusnya menguasai bacaan kitab suci tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.