1 Oktober 2022, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Hab Halal telah menganjurkan Simposium Pemerkasaan Aplikasi Halal di Kompleks JAKIM, Putrajaya pada 30 September 2022.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBhg. Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee telah merasmikan simposium yang berlangsung selama setengah hari tersebut. Menurut beliau, dunia telah memasuki satu revolusi baharu, iaitu Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang menyebabkan digitalisasi mengambil alih segenap ruang hidup masyarakat termasuklah dalam aspek komunikasi.

Menurut beliau, penguasaan teknologi termasuklah digitalisasi yang terus berkembang pada hari ini merupakan kunci bagi pensijilan halal Malaysia untuk terus dilihat relevan bukan sahaja seiring dengan kemajuan industri yang bergerak pantas, bahkan kehendak pengguna yang mahukan kepantasan dalam memperoleh ketepatan maklumat.

“Industri dan pengguna yang merupakan pemegang taruh utama kepada pensijilan halal Malaysia sememangnya mengharapkan agensi kerajaan yang menjadi autoriti kepada pensijilan halal Malaysia membuat perubahan terhadap sistem teknologi dan aplikasi carian maklumat halal untuk menjadi panduan dalam membuat pemilihan produk dan perkhidmatan halal,” katanya dalam ucapan perasmian.

Tambah beliau, pihaknya akan merebut peluang yang muncul daripada teknologi dalam memacu enjin baharu bagi pensijilan halal di negara kita yang perlu sentiasa dilihat praktik dan dinamik.

“JAKIM dan kerjasama beberapa entiti lain telah berjaya membangunkan dua aplikasi halal Malaysia, iaitu aplikasi SmartHalal dan Verify Halal yang menjadi rujukan masyarakat pengguna dan industri bagi memperoleh maklumat terkini berkaitan dengan pensijilan halal Malaysia,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, kedua-dua aplikasi yang dimiliki bersama ini perlu diketengahkan sebagai model aplikasi carian halal yang praktikal dan boleh digunakan oleh masyarakat untuk mengesahkan status halal sebelum membeli di pasaran.

Untuk makluman, kedua-dua aplikasi ini telah memperoleh anugerah kategori Inovasi Halal Terbaik 2020 (Best Halal Innovation 2020) oleh Standards and Metrology Institute For Islamic Countries (SMICC).

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir bersama-sama ahli panel yang berkongsi pandangan dalam Simposium Pemerkasaan Aplikasi Halal.

Simposium tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir yang menyebut bahawa kedua-dua aplikasi ini akan menyediakan jawapan kepada sebarang permasalahan yang menggugat keyakinan masyarakat termasuk penjelasan isu-isu yang tular di media sosial. Bahkan, pembinaan infrastruktur digital ini juga dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang lestari di samping meningkatkan kemampuan pengurusan pensijilan halal di Malaysia.
Simposium kemudian diteruskan dengan tiga slot pembentangan dan perkongsian oleh Timbalan Pengarah Media Baharu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Muhammad Lutfi Azamudin Mohd Munir, Ketua Penyedia Aplikasi Verify Halal, Jabal Abdul Rahim dan Pengurus Teknikal Lembaga Oil and Gas, Muhammad Azlan Rasimun.

Sesi perkongsian lanjut dan simposium ini boleh ditonton secara dalam talian di Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM https://www.facebook.com/HabHalalJakim/videos/415723933848361

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.