29 September 2022, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengingatkan masyarakat Islam di negeri ini untuk terus menyumbangkan wakaf tunai melalui MAIPs untuk manfaat ummah.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Islah, Kampung Ngulang.

Penyerahan tersebut diadakan di Teratak Teduhan Doa, dan turut dihadiri oleh Mufti Perlis, Dato Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut Tuanku Raja Muda, Wakaf tunai melalui MAIPs buat masa ini akan diagihkan untuk inisiatif seperti Wakaf Tunai Manfaat Am, Wakaf al-Quran atau Kitab, Wakaf Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid serta Surau, Wakaf Penyelenggaraan Tanah Perkuburan Islam, Wakaf Pusat Autisme Negeri Perlis, Wakaf Pendidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Wakaf Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan Wakaf Pendidikan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Wakaf tunai MAIPs boleh disalurkan melalui Bank Islam di nombor akaun 09010010063983 atau di mana-mana tabung dan juga kaunter Wakaf MAIPs.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima sembah mengadap pengurusan tertinggi rangkaian kedai kopi premium, Richiamo Coffee di Galeri DiRaja Arau yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Muhd Zamry Abu Samah. Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarahnya, Wan Najib Wan Daud dan rakan kongsi Richiamo di kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, Borhan Abu Samah. Kini sudah terdapat tiga cawangan Richiamo Coffee di Perlis, iaitu di kampus UiTM Perlis di Arau, Kangar Jaya dan juga di kampus UniMAP di Pauh Putra.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.