28 September 2022, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (ATAM) akan melipatgandakan usahanya bagi memberikan fokus terhadap bidang pendidikan yang bersangkutan dengan golongan asnaf seperti penajaan dalam persijilan profesional atau profesion berfokus sebagai langkah peningkatan kompetensi bagi menjana pendapatan, sekali gus mempertingkatkan peluang jaminan pekerjaan.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Saidina Umar Al Khattab, Guar Syed Alwi, sempena program Program Kayuhan MAIPs Peduli.

“Dalam teras kemahiran, fokus utama adalah untuk memberikan latihan kemahiran dalam bidang bersifat kalis masa depan untuk memberikan peluang penempatan pekerjaan, manakala teras keusahawanan pula memberikan fokus terhadap pemantapan ekosistem kejayaan usahawan asnaf merangkumi persiapan jati diri asnaf, pemerkasaan perniagaan dan penyediaan sistem bantu urus perniagaan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs juga turut berkenan singgah menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah setiap seorang kepada asnaf terpilih di kampung sekitar.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Encik Mohd Nazri Mat Rejab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.