Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Seluruh dunia dikhabarkan dengan berita duka atas kembalinya ke rahmatullah Al-Imam Al-’Allamah As-Syeikh Yusuf Al-Qaradawi Rahimahullah. Sehubungan dengan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah melimpahkan kurnia dan perkenan agar dilaksanakan solat jenazah ghaib ke atas Al-Imam al-‘Allamah As-Syeikh Yusuf Al-Qaradawi Rahimahullah di masjid seluruh negeri Perlis.
Menurut siaran media MAIPs awal pagi ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menitahkan bahawa memandangkan solat jenazah ke atas Rahimahullah dimaklumkan akan dilaksanakan pada waktu asar di negara Qatar pada hari ini, maka pelaksanaan solat jenazah ghaib ke atas Rahimahullah di masjid seluruh Perlis diselaraskan pelaksanaannya, iaitu sejurus selepas solat zuhur pada 28 September 2022 (Rabu).
Sehubungan dengan itu, umat Islam di negeri Perlis digalakkan untuk menyertai solat berkenaan sepertimana yang telah diperkenankan berdasarkan sunah Rasulullah SAW. Tuanku Raja Perlis dijadualkan berangkat melaksanakan solat zuhur dan solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar seperti waktu yang telah ditetapkan.
Sesungguhnya, pemergian Al-Imam al-‘Allamah Asy-Syeikh Yusuf Al-Qaradawi Rahimahullah merupakan satu kehilangan besar buat dunia Islam dan didoakan agar Rahimahullah ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan para solihin.