22 September 2022, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Simposium al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (SQPK 2022)  telah berlangsung julung-julung kalinya pada 20 September lalu bertempat di Hotel Movenpick & Convention Center, Sepang, Selangor. SQPK 2022 yang berlangsung selama sehari tersebut merupakan inisiatif dan anjuran Cawangan Kajian al-Quran dan al-Hadith, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Objektif penganjuran simposium adalah untuk mengangkat dan membumikan kandungan al-Quran dalam usaha melestarikan kehidupan sejagat dengan tema “Kalam Allah Melestari Keharmonian Sejagat”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad ketika menyampaikan ucaptama beliau dalam SQPK 2022.

Simposium tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad. Dalam ucaptama yang disampaikan, beliau berkata tema tersebut sangat signifikan kerana al-Quran merupakan mukjizat teragung dan relevan sepanjang zaman yang mengandungi panduan buat kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.

“Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang merangkumi segala aspek kehidupan daripada sekecil-kecil perkara seperti cara berpakaian sehinggalah urusan mentadbir sesebuah kerajaan dan negara.

“Al-Quran juga merupakan formula penyatuan yang ampuh dan jelas, yang dapat dibuktikan melalui sirah Rasulullah SAW di Makkah dan Madinah sehingga dapat membentuk sebuah negara Madinah.”

Ahli panel yang diundang ialah Profesor Jabatan al-Quran dan Hadith, Universiti Malaya (UM), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff; Profesor Pusat Kajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Dr. Muhd Najib Abd Kadir; Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah; Dekan Kuliah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Azrul Azlen bin Abd Hamid; Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar (KASA),YBhg. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang; dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban UM, Kuala Lumpur, YBhg. Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin.

Para peserta simposium terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara, dan boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook JAKIM, https://www.facebook.com/MyJAKIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.