19 September 2022, 22:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial hari ini. Majlis pelancaran tersebut juga disiarkan secara dalam talian di laman media sosial Facebook rasmi JAKIM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Idris Ahmad berkata, pada masa ini ramai individu ingin menjadi wartawan yang kemudiannya menyebarkan berita di media sosial masing-masing dengan tidak mematuhi etika kewartawanan demi mensensasikan isu yang ingin dikongsi.

“Perbuatan fitnah dalam bentuk penulisan dan hantaran dengan perkongsian maklumat yang tidak tepat bukan sahaja mewujudkan budaya yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat di negara kita, tetapi juga dikhuatiri akan menjadi ikutan generasi muda,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial.

Tambahnya lagi, pihak JAKIM juga tidak terkecuali turut terkena tempias perkara ini seperti isu halal sehingga menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata kempen tersebut adalah bertujuan untuk membendung penularan peningkatan hantaran palsu dalam kalangan netizen tempatan sejak akhir-akhir ini dan menyeru masyarakat untuk menukar profil dan status media sosial masing-masing dengan tanda pagar #hentikanfitnahdimediasosial.

Beberapa selebriti terkenal tanah air turut tampil membantu pihak JAKIM bagi menjayakan kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial bagi membantu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat negara kita. Antara selebriti tersebut termasuklah Shuib Sepahtu, Da’I Afam, M. Subash Abdullah, Mohd. Hariri Mohd. Daud, Ryan Bakery dan Dr. Syar Meeze Mohd. Rashid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.