11 September 2022, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan melantik Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) yang baharu, Najmuddin Abdul Karim sebagai ahli Ex Officio dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkuat kuasa mulai 1 September 2022 hingga 31 Disember 2023 atau hingga tarikh terakhir beliau memegang jawatan sebagai Pengarah JAIPs.
Pelantikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Pengerusi MAIPs adalah setelah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis berdasarkan peruntukan Subseksyen 11(2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 (Enakmen 4).
Pada majlis sembah mengadap pengenalan dan penyerahan perutusan pelantikan keanggotaan beliau sebagai ahli Ex-Officio MAIPs kepada Najmuddin yang diadakan di Galeri DiRaja Arau tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyaksikan simbolik Penyerahan Nota Serah Tugas antara Najmuddin dengan Muhammad Hafeez Abu Seman yang memangku jawatan Pengarah JAIPs sebelum ini.
Dalam titah baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar pelantikan Najmuddin akan memantapkan lagi fungsi dan peranan JAIPs untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada negeri dan masyarakat selain dapat memberikan sumbangan idea, pengalaman dan kepakaran secara berterusan dalam usaha memperkasakan lagi MAIPs.
Najmuddin yang kini berusia 46 tahun merupakan lulusan Syariah dan Undang-Undang Pengkhususan Fiqh dan Usul daripada Al-Bayt University Jordan. Jawatan terakhir beliau sebelum memulakan amanah di Perlis pada 1 September 2022 ialah Ketua Penolong Mufti (Bahagian Fatwa) di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.