3 September 2022, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menganjurkan kempen Bulan Pembebasan Riqab sepanjang bulan September dalam usaha pihaknya menyebar luas maklumat dan kesedaran masyarakat terutamanya yang tinggal di Selangor tentang asnaf riqab.

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, YBhg. Tan Sri Dato’ Hashim Meon berkata, asnaf riqab terdiri daripada individu yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram serta yang terpesong agamanya.

“Selain boleh memberikan pendedahan kepada masyarakat, pihak MAIS juga mahu memberikan kefahaman kepada asnaf riqab berhubung masalah sosial dan kesihatan serta memupuk kesedaran tentang perlunya kerjasama dalam mengatasi masalah-masalah ini melalui kempen tersebut,” katanya.

MAIS memperuntukkan sebanyak RM 21.2 juta daripada peruntukan zakat asnaf riqab tahun ini bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka mampu kembali ke pangkal jalan.

Barisan ahli panel dan moderator dalam Forum Riqab: “Merdekakan Diri”.

Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang berlangsungnya kempen ini selama sebulan. Antaranya termasuklah Forum Riqab, Ceramah Kesedaran Kesihatan, Program Bimbingan Asnaf Riqab dan pelbagai program secara fizikal dan secara dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, YBhg. Tan Sri Dato’ Hashim Meon telah melancarkan kempen Bulan Pembebasan Riqab di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam baru-baru ini. Turut berlangsung semasa majlis perasmian tersebut ialah Forum Riqab dengan tajuk ‘Merdekakan Diri’.

Majlis perasmian dan forum tersebut boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial rasmi, Facebook MAIS iaitu https://www.facebook.com/Majlis-Agama-Islam-Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.