31 Ogos 2022, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menerima persembahan taklimat dan meninjau kerja-kerja pengubahsuaian bangunan Wisma MAIPs di Uniciti Sungai Chuchoh dekat Padang Besar yang akan menjadi kampus Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM).

Baginda bertitah bahawa Perlis mempunyai banyak persamaan dengan Muhammadiyah Indonesia, terutama dari segi seruan dan gesaan untuk membebaskan bukan sahaja pemikiran, malah amalan dan ritual agama seharian daripada penyerahan dan turutan tanpa dasar kukuh daripada agama, kepada semakan semula dalil daripada al-Quran dan sunah.

“Oleh itu, kesukaran atau cabaran bukanlah alasan untuk tidak meneruskan usaha baik ini. Satu kesungguhan itu tidak dinilai daripada hasilnya, tetapi keikhlasan dan kesanggupannya dalam memastikan sesuatu objektif mencapai sasarannya,” titah baginda

Keberangkatan baginda disambut oleh Rektor UMAM, Dr. Waluyo Adi Siswanto. Hadir sama ialah Mufti Perlis Dato Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Di samping itu, tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menitahkan agar semua pihak menggembeleng usaha bagi memastikan proses untuk mempersiapkan Wisma MAIPs sebagai Kampus UMAM dapat dipercepatkan.

Menurut Dr. Waluyo pula, jika segala kelulusan diperoleh, operasi UMAM akan bermula di Perlis pada suku terakhir tahun ini dengan pengambilan pelajar sulungnya akan bermula pada Februari 2023.

Untuk rekod, Muhammadiyah merupakan pertubuhan yang amat besar di Indonesia dan pada ketika ini memiliki 118 buah hospital, 450 klinik perubatan, 172 institusi pengajian tinggi, 349 pesanteren, 9000 sekolah rendah dan menengah serta 22 000 taman asuhan kanak-kanak. Jumlah mahasiswanya sekarang lebih kurang 800 000 orang penuntut, dan Perlis merupakan kampus universitinya yang pertama di luar Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.