28 Ogos 2022, 22:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sanglang – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Program Santuni 50 Buah Keluarga Asnaf Negeri Perlis anjuran Pertubuhan Kebajikan Gabungan Anak Muda Bukit Idaman (GAMBI) Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan di Masjid Nurul Al-Maghfirah Kepala Batas, Sanglang, semalam.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) telah bertindak sebagai urus setia program yang disekalikan dengan Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-58 bagi tahun 2022 itu.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengerusi GAMBI, Md Zuhaidi Haji Hashim dan setiausahanya, Muhammad Izzat Haji Adzmey serta Duta GAMBI, Imam Muda Ustaz Haji Hizbur Rahman Haji Omar Zuhdi berserta para sukarelawan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada program bulanan pertubuhan tersebut yang dijenamakan sebagai “GAMBI Jelajah Malaysia” dalam siri menyantuni keluarga asnaf di luar Selangor dan Kuala Lumpur.

Sempena kayuhan itu, baginda berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs dan juga daripada pihak GAMBI berupa pek berisi set barangan keperluan asas dan barangan lain yang berkaitan.

Selepas majlis berkenaan, Tuanku Raja Muda bertitah mengajak semua rakyat supaya bersama-sama mengekalkan perpaduan dan integrasi kaum, budaya dan kesetiaan yang sedia terjalin demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri dan negara disayangi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.