27 Ogos 2022, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Semua Pekhidmat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diingatkan supaya memahami dan berkongsi matlamat prestasi MAIPs yang telah dirancang dan ditetapkan. Setiap matlamat dan sasaran prestasi perlu diperjelas dan dipersetujui bersama supaya mereka mengetahui perkara yang perlu dilakukan untuk mencapainya.

Oleh itu, pihak pengurusan MAIPs hendaklah memastikan matlamat dan sasaran prestasi yang dipersetujui harus boleh dicapai, dilihat dan diukur. Dalam hubungan ini, pengurusan MAIPs hendaklah menggunakan prinsip SMART, iaitu specific, measureable, achieveable, realistic dan time bound bagi menetapkan usaha dan matlamatnya.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM11 600 untuk diagihkan kepada seramai 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Shahrani, Behor Lateh, Kangar. Masing-masing akan menerima RM400 setiap seorang melalui amilnya, Mohizam Mohammad sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-18 bagi tahun 2022 yang diadakan di masjid berkenaan pada semalam.

“Satu pendekatan mengurus pekerja dalam organisasi diperlukan kerana pengurusan prestasi berfokuskan modal insan. Hal tersebut adalah tentang bagaimana seseorang individu atau sekumpulan individu bekerja bersama-sama dan saling membantu untuk mencapai matlamat dan sasaran yang telah dipersetujui bersama,” titah baginda.

Dalam hubungan ini, menurut baginda, seseorang pentadbir atau ketua perlu memainkan peranan yang penting untuk membimbing dan memberikan semangat kepada orang yang di bawah seliaannya bagi memastikan pencapaian matlamat dan sasaran prestasi dapat direalisasikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.