26 Ogos 2022, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Belakangan ini, media sosial acap kali disalahgunakan oleh segelintir masyarakat. Bahkan, lebih menyedihkan apabila semakin banyak kes penghinaan terhadap agama Islam dilakukan melalui medium ini. Bagi mengupas dan mencari penyelesaian terhadap isu sebegini di negara kita, Bernama Radio telah menjemput Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Idris Ahmad untuk berkongsi berkaitan dengan isu tersebut dalam slot Jendela Fikir.

Membuka bicara, beliau menyatakan Islam melarang umatnya daripada menghina agama lain bagi mengelakkan Islam dihina kembali sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Janganlah kamu mencerca benda yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah al-An’am 6 :108).

“Penghinaan terhadap Islam yang berlaku dalam kalangan orang bukan Islam mungkin disebabkan oleh Islamofobia, iaitu Islam dianggap sebagai satu ancaman serta menyekat perlakuan mereka dan kerana sifat dendam terhadap Islam daripada pembacaan mereka dan mengambil tindakan menghina Islam,” ujar beliau.

Katanya lagi, mungkin penghinaan orang bukan Islam terhadap agama Islam tidak janggal dan pelik, tetapi kini ada juga kalangan orang Islam sendiri yang menghina agama mereka. Orang Islam yang menghina agamanya sendiri mungkin disebabkan kejahilan mereka yang tidak mengenali ajaran Islam, berlakunya kekecewaan dalam hidup sehingga mereka menyalahkan agama yang mereka anuti dan terpengaruh dengan faktor sekeliling.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan memandang serius terhadap isu penghinaan agama yang berlaku di negara ini dan penguatkuasaan undang-undang dilihat masih mampu menangani isu tersebut. Bahkan, akta sedia ada di negara ini sudah mencukupi untuk mengenakan denda terhadap individu yang menghina Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Antara akta tersebut termasuklah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi orang Islam,” jelas beliau.

Tambah beliau, bagi orang bukan Islam, Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh digunakan untuk individu yang melakukan perkara menimbulkan ketidakharmonian dan ketenteraman orang, dengan hukuman denda tidak melebihi RM50 000 dan penjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali.

“Sementara itu, Akta Hasutan 1948 (Akta 15) pula mengenakan hukuman kepada individu yang menghina agama ini dengan penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi tujuh tahun,” katanya lagi.

Beliau berkata pihak berkuasa juga memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menghina agama Islam tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.