22 Julai 2022, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 pada 21 Julai 2022.

Seminar ini merupakan satu daripada program Pelan Komunikasi Inisiatif Qawwam. Bertemakan “Lelaki Dambaan Syurga”, seminar ini bertujuan untuk memberikan kefahaman berkaitan dengan lelaki qawwam dan menghidupkan sistem sokongan secara holistik kepada masyarakat, khususnya ahli keluarga agar semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi melahirkan baiti jannati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Senator Haji Idris Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Program ini juga diharapkan mampu mengembalikan fungsi dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh lelaki selaku seorang ayah, abang, adik, datuk dan bapa saudara kepada ahli keluarga dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan, meningkatkan kesedaran tentang kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga yang dipengaruhi oleh peranan dan fungsi lelaki dalam keluarga. Program ini juga bertujuan untuk memperkukuh rasa kepedulian seorang bapa dan lelaki dewasa terhadap perkembangan dan pembangunan anak masing-masing serta generasi seterusnya.

Seminar yang diadakan di Dewan Serba Guna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ini dimulakan dengan ucaptama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary bertajuk ‘Inisiatif Lelaki Qawwam’.

Tetamu jemputan bergambar bersama-sama peserta seminar.

 

Seminar kemudiannya diteruskan dengan forum yang bertajuk “Qawwamkah Aku? Ahli panel yang diundang terdiri daripada pakar potivasi, Tuan Haji Hushim Salleh dan penceramah terkenal, Dato’ Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd Hashim. Seminar tersebut diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Senator Haji Idris Haji Ahmad.

Keluarga Malaysia diharap dapat menyambut baik inisiatif seminar ini, seterusnya pihak terlibat dapat melaksanakannya melalui apa-apa sahaja pendekatan yang bersesuaian dengan tema dan elemen lelaki qawwam bagi memperkasakan peranan dan fungsi lelaki bagi menjana diri, keluarga dan negara menjadi lebih baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.