18 Julai 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah Tahun 2020 yang berlangsung selama lima hari bermula dari 18 Julai sehingga 22 Julai 2022, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah yang membicarakan topik yang sangat relevan dengan keadaan semasa, iaitu jenayah arak dan judi daripada perspektif perundangan syariah dan sivil.

Penganjuran Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepelbagaian aliran pemikiran dan kefahaman masa ini yang tidak selari dengan Islam dan isu-isu yang berkaitan dengannya, serta membicarakan secara mendalam isu-isu dan teknik pencegahan jenayah yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah, serta memperkukuh pemahaman Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai pegangan ummah Islam di Malaysia.

Ahli panel yang diundang ialah Hakim Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan, Yang Arif Tuan Mohamad Fouzi Haji Mokhtar; dan Penganalisis Jenayah, Tuan Kamal Affandi Hashim,.

YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad hadir menyempurnakan perasmian Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Serba Guna, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Beliau berkata pengharaman arak dan judi sudah jelas dinyatakan dalam al-Quran. Bahkan, sudah banyak laporan dan berita berkenaan keruntuhan institusi keluarga di Malaysia adalah disebabkan oleh arak dan judi.

Tambahnya lagi, semua lapisan masyarakat perlu berperanan mencegah dan membanteras jenayah arak dan judi daripada terus menjadi barah dalam masyarakat.

Beliau juga berharap Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 dapat diperluas ke negeri lain agar masyarakat lebih mematuhi syariat dan menjauhi maksiat.

Selain penganjuran seminar dan pameran pada hari ini, terdapat beberapa program lain yang akan berlangsung sepanjang minggu Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022. Antaranya termasuklah Kursus Kemahiran Menjadi Saksi di Mahkamah Syariah oleh Institut Latihan Islam (ILIM) Bangi bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), siaran artikel akhbar tentang jenayah syariah, khutbah tentang jenayah syariah dan lain-lain lagi.

(Sumber gambar: Facebook rasmi JAKIM)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.