8 Julai 2022, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makkah – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad berkata, beliau mengambil maklum berkenaan isu yang melibatkan lebih kurang 400 orang bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Movenpick KLIA.

Tambah beliau, beberapa laporan polis telah dibuat berkenaan perkara ini dan tindakan juga telah diambil oleh pihak terlibat bagi memulakan proses siasatan.

“Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ianya melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau juga meminta siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa dan pihak yang terlibat perlulah dibawa ke muka pengadilan serta diberikan hukuman yang setimpal sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan. Hal ini sebagai pengajaran kepada semua pihak agar kes seperti itu tidak berulang lagi pada masa hadapan.

“Saya meminta agar rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapat nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji (TH) walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji,” katanya lagi.

Beliau juga memohon pihak yang teraniaya agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Makkah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.