25 Jun 2022, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Buat pertama kalinya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan program Qiamullail Perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Program yang bermula pada pukul 4.30 pagi tadi itu disiarkan secara langsung melalui TV AlHijrah dan media sosial rasmi JAKIM bermula jam 5.00 pagi.

Program tersebut dimulakan dengan solat sunat tahajud yang dipimpin oleh Ustaz Tirmizi al-Hafiz sebanyak lapan rakaat, dan kemudiannya disusuli dengan bacaan ayat al-Quran sementara menanti masuknya waktu solat subuh.

Ustaz Tirmizi mempimpin solat sunat tahajud.

Selepas menunaikan solat subuh, para jemaah yang hadir disajikan pula dengan kuliah subuh yang disampaikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad.

Dalam kuliah tersebut, beliau menekankan kepentingan bersyukur apabila dikurniakan nikmat Islam dan iman dalam diri kerana bukan semua manusia dikurniakan nikmat tersebut dan hanya sekadar Islam warisan semata-mata.

Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad ketika menyampaikan kuliah subuh.

“Kita perlu menjaga dan pelihara nikmat tersebut kerana masih banyak manusia yang tidak dikurniakan hidayah oleh Allah SWT. Bahkan, nikmat Islam merupakan nikmat paling besar dalam hidup manusia,” katanya

Beliau juga mengingatkan betapa pentingnya untuk sentiasa berpesan-pesan sesama Muslim terutama dengan masyarakat sekeliling.

Seramai hampir 500 orang jemaah telah hadir untuk turut bersama-sama mengimarahkan Qiamullail Perdana bersama YB menteri tersebut.

(Sumber gambar: Facebook rasmi JAKIM dan YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.