5 Jun 2022, 23:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Seramai 298 bakal jemaah haji Malaysia 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci setelah dua tahun ibadat haji tertangguh akibat pandemik COVID-19. Penerbangan pertama kelmarin telah berlepas pada pukul 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudi Airlines dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 4.55 petang waktu Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Dato’ Sri Amrin Awaluddin yang hadir menyantuni bakal jemaah tersebut berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah bersetuju meneruskan semula projek “Makkah Route” untuk memudahkan proses prapelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam di KLIA.

“Para jemaah dari Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing yang akan menjimatkan masa semua jemaah haji,” kata beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad yang turut hadir menasihatkan semua bakal jemaah haji perlu menjaga kesihatan disebabkan suasana COVID-19 yang masih boleh mengancam kesihatan.

“Para jemaah haji juga perlu terus mematuhi Prosedur Pengendalian Standard (SOP) kesihatan dan berhati-hati supaya tidak terkesan dengan jangkitan COVID-19 atau penyakit berjangkit yang lain semasa berada di Tanah Suci,” tambah beliau lagi.

Beliau juga menasihati bakal jemaah haji agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas kerana pada masa ini Arab Saudi mengalami musim panas dan suhu boleh mencapai 50 darjah celcius.

Selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sempat meluangkan masa untuk menyantuni bakal jemaah haji Malaysia.

Beliau mendoakan semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan baik, tenang dan pulang dengan haji yang mabrur.

“Sebagai satu Keluarga Malaysia, saya meminta para jemaah haji yang akan menunaikan rukun Islam yang kelima ini agar dapat mendoakan Malaysia terus berjaya, aman damai dengan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang berkekalan,” tambah beliau lagi.

Turut hadir menyantuni  bakal jemaah haji ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Arab Saudi, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines akan membawa bakal jemaah haji negara seramai 14 306 bagi menunaikan rukun Islam kelima ke Tanah Suci bermula dengan penerbangan pertama pada 4 Jun 2022.

(Sumber gambar: Facebook Rasmi Lembaga Tabung Haji)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.