Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa cuba mengambil langkah proaktif bagi mempercepat penyaluran sumbangan, khususnya kepada mereka yang menghadapi ujian dan musibah bencana.
“Berhadapan dengan situasi sukar, mangsa sudah pasti memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat termasuklah agensi seperti MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyantuni mangsa ribut, Sonan Idris, 80 tahun yang tinggal seorang diri di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar baru-baru ini.
“Masyarakat juga perlu sentiasa bersedia apabila berhadapan dengan situasi cemas seperti mengutamakan keselamatan nyawa, diri dan keluarga tersayang serta mengetahui tindakan cepat yang perlu dilaksanakan seperti pemakluman kepada pihak penyelamat dan menjaga keselamatan dokumen termasuk mempersiapkan ‘kit bencana’ bagi diri dan juga ahli keluarga masing-masing,” titah baginda.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ke lawatan tersebut pula menjelaskan bahawa pihak MAIPs sentiasa berusaha yang terbaik untuk membantu mangsa dan berharap agar mangsa juga mengambil langkah awal dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak agensi terbabit.
“Apabila menghadapi bencana, mangsa perlu segera membuat laporan polis, memaklumkan kepada pemimpin masyarakat berdekatan serta menyediakan dokumen asas seperti salinan penyata akaun bank agar mudah untuk sumbangan disalurkan secara terus dan lebih pantas,” katanya.