Diterbitkan pada 2 Jun 2022, 22:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam –  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Sistem Wasiat dan Hibah (SISWA) bagi memudahkan masyarakat Islam di negeri tersebut menguruskan wasiat dan hibah secara lebih mudah dan pantas secara dalam talian di https://siswa.mais.gov.my semalam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam ucapan perasmiannya berkata, MAIS sebagai badan pengelola Baitulmal sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menjadi tempat rujukan utama dalam pengurusan harta orang Islam.

“MAIS telah menaik taraf sistem e-Wasiat sedia ada kepada satu sistem baharu dengan menggabungkan dua elemen penting dalam perancangan pembahagian harta, iaitu wasiat dan hibah dalam satu sistem pintar,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa permohonan dan kelulusan melalui SISWA akan diuruskan 100 peratus secara dalam talian selain menawarkan penggunaan Electronic Know Your Customer (EKYC) yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagaimana yang dilaksanakan oleh institusi kewangan di negara ini.

“SISWA juga menggunakan tandatangan digital yang tertakluk di bawah Akta Tandatangan Digital  1997 dan pengesahan transaksi oleh pemohon dilakukan secara One-Time Password (OTP),” katanya lagi.

Menurutnya, hingga kini MAIS telah menerima dan mengurus sebanyak 3916 permohonan wasiat dan hibah, serta menyasarkan seramai 6000 orang yang akan menggunakan sistem tersebut pada tahun ini.

Tambahnya lagi, pihaknya berharap SISWA dapat memberikan kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam usaha membantu dan merancang pembahagian harta dengan lebih bijaksana dan sistematik bagi mengelakkan isu dan pertikaian harta pusaka dalam kalangan waris.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkaitan dengan wasiat, hibah dan pusaka boleh melayari web rasmi MAIS di https://www.mais.gov.my atau menghubungi talian 03-5514 3773/3772.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi