22 April 2022, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-qadar itu? Malam al-qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibrail dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.”

Alhamdulillah telah 20 hari kita menunaikan ibadat puasa Ramadan. Semoga saf kesabaran telah dirapatkan melalui amalan berpuasa dan dihampar sejadah barakah yang menghidupkan ruang keberkatan di kamar ketakwaan, menjadikan titis-titis noda diangkat ke langit pengampunan.  Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan-Nya. Takwa bermaksud sentiasa berhati-hati pada setiap perlakuan dan tindakan dalam kehidupan kerana taat dan takut kepada Allah SWT.

Apakah yang dimaksudkan malam al-qadar? Mengapakah disebut al-qadar? Menurut Imam al-Qurtubi, memetik tafsiran Mujahid r.a., lailatulqadar ialah ليلة الحكم  (lailah al-hukum), iaitu malam ditetapkan hukum, yakni Allah SWT menentukan pada malam itu segala apa-apa yang dikehendaki-Nya selama setahun, perkara berkaitan dengan takdir, kematian, rezeki dan urusan kehidupan, sehingga lailatulqadar pada tahun berikutnya. Ketetapan ini diserahkan kepada para malaikat untuk melaksanakannya.

Bilakah malam al-qadar? Berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW antaranya;

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِن رَمَضَانَ، وَيَقُولُ: تَحرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ في العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Daripada Aisyah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan dan Baginda bersabda: ‘Carilah lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.’” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad SAW memperincikan kemungkinan berlakunya lailatulqadar pada malam ganjil  sepuluh malam terakhir Ramadan. Sabda Nabi SAW;

اِلْتَمِسُوهَا فِي العَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

Maksudnya: “Carilah (lailatulqadar) pada malam ganjil sepuluh yang terakhir (dalam bulan Ramadan).” (Hadis riwayat Ahmad).

Untuk memudahkan umat Islam mencarinya, Imam al-Ghazali memberikan panduan berdasarkan pengalaman beliau seperti yang dinukilkan dalam Hasyiah al Bujairimi;

“Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan lain-lain berkata, lailatulqadar boleh diketahui berdasarkan hari pertama Ramadan. Sekiranya hari pertama ialah Ahad atau Rabu, maka lailatulqadar terjadi pada malam 29; sekiranya jatuh pada hari Isnin, maka lailatulqadar pada malam 21; sekiranya pada hari Selasa atau Jumaat, maka lailatulqadar pada malam 27; sekiranya pada hari Khamis, maka lailatulqadar pada malam 25; sekiranya pada hari Sabtu, maka lailatulqadar pada malam 23.”

Walau apa-apa pun malamnya, sangat dianjurkan agar kita memberikan tumpuan ibadat yang lebih pada 10 malam terakhir, sama ada pada malam ganjil mahupun genap.

Keistimewaan malam al-qadar

Apakah keistimewaan malam al-qadar? Adakah Allah SWT dan Rasulullah SAW menjanjikan sesuatu yang istimewa untuk kita sempena malam al-qadar? Dalam Surah al-Qadr ayat 3, Allah SWT menyebut malam al-qadar ialah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Lailatulqadar ialah malam yang penuh berkat, malam yang sangat dinantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa, malam yang mendorong manusia untuk berasa dekat dengan Allah SWT, malam untuk mendapat keredaan Ilahi dengan diampuni segala dosa. Andai amalan kita diterima Allah SWT, beruntunglah kita kerana amalan satu malam seolah-olah beramal selama lebih 83 tahun.

Malam al-qadar turut dipenuhi kesejahteraan apabila para malaikat turun dan mengucapkan salam (doa kesejahteraan) kepada seluruh orang beriman. Malam al-qadar juga ialah malam pengampunan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barang siapa yang beribadat pada malam al-qadar kerana iman dan mengharap ganjaran daripada Allah SWT, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Umat Islam diseru agar meningkatkan amalan pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Apakah yang patut kita lakukan apabila sampai sepuluh malam terakhir Ramadan dalam hasrat mahu menemui lailatulqadar? Jadikan pengajaran daripada petunjuk Nabi Muhammad SAW. Daripada Aisyah r.a. menceritakan bahawa, “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda SAW membangunkan ahli rumah, mengikat kain Baginda (tidak menggauli isteri-isteri Baginda) serta menghidupkan malam tersebut.” (Hadis riwayat Ibn Hibban).

Sehubungan dengan itu, umat Islam diseru agar mengambil peluang keemasan dengan meningkatkan amalan berikut pada sepuluh malam terakhir Ramadan;

Pertama: Terus istiqamah, solat berjemaah, terutama solat isyak dan solat subuh, dikembarkan dengan solat sunat rawatib, mengiringi solat fardu.

Kedua: Mandi dan memakai wangian membuktikan semangat dan kesungguhan menanti ketibaan malam yang istimewa.

Ketiga: Solat tarawih dan witir berjemaah dengan melibatkan ahli keluarga. Perbanyakkan amalan membaca al-Quran; bertadarus dan bertadabur, lebih afdal dilakukan di surau, di masjid atau bersama-sama ahli keluarga di rumah.

Keempat:  Beriktikaf di masjid; merupakan sunah Nabi Muhammad SAW yang sangat dituntut untuk kita melakukannya kerana sepanjang 10 Ramadan terakhir, Baginda tidak keluar masjid melainkan untuk memenuhi keperluan asas sahaja.

Kelima: Banyakkan bertaubat dan beristighfar terutama pada waktu sahur;  di samping berusaha menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan perkara keji serta perbuatan zalim terhadap makhluk lain.

Keenam: Bersungguh-sungguh berdoa, memohon pengampunan atas segala dosa dan kesalahan, mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa, ahli keluarga serta sekalian Muslimin dan Muslimat, kerana malam al-qadar ialah malam pengampunan.

Saiyidatina Aisyah r.a. bertanya kepada Baginda SAW, “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, jika aku bertemu dengan malam al-qadar maka apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Nabi SAW bersabda: “Ya Allah, Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Ketujuh:  Jangan lupa berbuat baik sesama manusia, juga kepada makhluk Allah yang lain. Malam-malam yang berbaki ini ditumpukan melakukan sebanyak-banyak ibadat, banyakkan bersedekah, berbakti kepada kedua ibu bapa, berbuat baik kepada ahli keluarga, menyantuni jiran tetangga, fakir miskin dan anak yatim, dan melakukan pelbagai kebaikan bersifat insani.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiyah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyak selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Rabb al-‘alamin! Engkau kurniakan kami kesempatan bertemu dengan malam al-qadar. Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang menghidupkan malam tersebut dan ampunilah kami daripada segala dosa, dan kabulkan doa dan hajat kami.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakan rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Malik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 22 April 2022, “Lailatulqadar: Peluang Keemasan Diganjari dan Diampuni”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.