Oleh Deeya Aqilah
20 April 2022, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KAMPUNG BELUKAR – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya tidak sekali-kali leka dengan ancaman COVID-19 walaupun kini datanya menunjukkan angka penurunan terutama sekali menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Teruslah menjaga kebersihan seperti sentiasa mencuci tangan dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan vitamin serta makanan sihat. Pada masa yang sama, dapatkanlah suntikan penggalak bagi memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan, seterusnya dapat mewujudkan imuniti kelompok dalam keluarga, organisasi serta komuniti setempat.”

Baginda tuanku bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyaksikan penyerahan peruntukan tahunan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Teratak Rahmat Jalan Mata Ayer Perlis dalam satu majlis simbolik penyerahan yang diadakan di Masjid Al-Rahman, Kampung Belukar.

Sumbangan berjumlah RM120 000 tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor kepada Pengerusi Teratak Rahmat, Ustaz Muhammad Ihsan Idris.

Teratak Rahmat ialah sebuah rumah kebajikan yang menjaga dan menempatkan anak-anak yatim dan anak yang terbiar atau daripada keluarga bermasalah. Tujuan penubuhannya adalah untuk memastikan agar kebajikan dan pelajaran penghuni rumah tersebut terpelihara. Teratak Rahmat juga merupakan sebuah badan muafakat yang diberikan kuasa autonomi di bawah Persatuan Al-Islah Perlis, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan berteraskan agama dan kerohanian yang terbesar di negeri ini.

Terdahulu, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM12 200 kepada seramai 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.