Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan akan peri pentingnya usaha dan bantuan bagi memuliakan anak yatim secara berterusan sejajar dengan tuntutan agama.
Sehubungan dengan itu, institusi kekeluargaan diseru agar memainkan peranan secara proaktif dalam usaha menyokong anak yatim dari pelbagai sudut, termasuk perlindungan, pendidikan, kewangan dan kebajikan.
“Anak-anak yatim merupakan generasi akan datang dan mereka juga sama seperti kanak-kanak dan remaja lain yang memerlukan perhatian dan sokongan bagi membentuk masa depan.
“Sehubungan dengan itu, besar harapan saya untuk melihat institusi kekeluargaan dan masyarakat berganding bahu dalam usaha berterusan menyokong anak-anak ini dari pelbagai sudut, khasnya kasih sayang, kebajikan, pendidikan dan kewangan.”
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyantuni anak yatim dari kariah Kota Raja Arau di Masjid Negeri Arau, petang semalam.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM20 000, hasil sumbangan masyarakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor kepada empat buah Rumah Kebajikan Anak Yatim di negeri Perlis yang diserahkan melalui Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Encik Mohammad Hazam Ismail.

Pada akhir program yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyaksikan penyerahan van jenazah sumbangan daripada Syarikat Ummul Travel And Tours Sdn. Bhd. bagi kegunaan Masjid Negeri Arau yang diterima oleh Imam Besar Negeri, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.