3 April 2022, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha untuk terus memperkasakan amalan berwakaf di negara kita, kerajaan telah bersetuju untuk menjadikan bulan Ramadan pada setiap tahun sebagai Bulan Wakaf. Hal ini sejajar dengan pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lepas.

Majlis Perasmian Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022 bersamaan dengan 1443H yang bertemakan “Wakaf Mensejahterakan Keluarga Malaysia” telah disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara “Assalamualaikum” di TVAlhijrah, pada 3 April 2022. Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

“Di luar negara, wakaf telah terbukti dapat menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan negara dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Sebagai contoh, Universiti Al-Azhar di Mesir yang menjadi ikon peranan wakaf dalam masyarakat. Universiti itu ditadbir sepenuhnya daripada sumber wakaf, dan terus maju serta berjaya menghasilkan cendekiawan disegani seantero dunia,” katanya.

Kerajaan juga telah mula memberikan penekanan kepada wakaf sebagai satu instrumen yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara, Buktinya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah dilancarkan pada 27 September 2021, terdapat sepuluh strategi yang melibatkan peranan wakaf, seperti menggalakkan sistem kewangan yang mampan dan inklusif serta memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf.

Tambah beliau lagi, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta universiti awam sudah bergerak seiring dalam usaha memberikan kesedaran dan membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan Keluarga Malaysia termasuklah menerbitkan beberapa buku yang membincangkan secara khusus berkaitan dengan wakaf. Antaranya termasuklah Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf yang merupakan kerjasama antara pihak JAWHAR bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), penerbitan Perakaunan Aset Wakaf di Malaysia hasil kerjasama JAWHAR dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf al-Quran yang melibatkan kerjasama antara JAWHAR dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Projek wakaf secara langsung dan tidak langsung sebenarnya telah memberikan impak terhadap pembangunan sosioekonomi ummah negara kita. Pembangunan pangsapuri  kos sederhana di Sungai Nibong dan Butterworth, Pulau Pinang misalnya telah memberikan manfaat dalam meningkatkan kualiti hidup golongan asnaf dan golongan berpendapatan rendah di kawasan sekitarnya. Pelaksanaan tabung wakaf tunai khas perkhidmatan air hingga bulan Mac 2022 pula telah memberikan manfaat di 21 lokasi di seluruh negara dengan jumlah agihan bernilai sebanyak RM860 492.98 melalui projek air berskala kecil,” tambah beliau.

Beliau amat yakin wakaf dapat membantu dan menyejahterakan seluruh keluarga Malaysia dan menyeru semua pihak agar berlumba-lumba membuat kebaikan dengan berwakaf.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.