Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni mangsa ribut di sekitar kawasan Arau pada petang semalam. Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM44 100 untuk 13 mangsa yang terlibat. Sumbangan tersebut bernilai antara RM400 hingga RM10 000 bergantung pada jumlah kerosakan rumah yang dialami masing-masing.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Encik Syed Aisam Syed Idris.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang Rabu itu, sebanyak 21 buah rumah terlibat dalam kejadian tersebut merangkumi kariah sekitar kawasan Arau, iaitu Jejawi Sungai Adam, Kubang Gajah, Alor Ara, Guar Gajah, Kota Raja Arau, Jelempok dan Sena.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, pihaknya telah mengatur gerak lapangan untuk melaksanakan taksiran kerugian dan turut mengadakan penyelarasan bersama-sama agensi berwajib lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Pihak MAIPs juga turut merakamkan ucapan tahniah atas tindakan pantas para amil kariah masjid terbabit yang memainkan peranannya menyelaraskan pasukan atur gerak bersama-sama Pegawai MAIPs dan para pemimpin masyarakat yang terlibat, selain turut mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang zakat yang sentiasa menghulurkan sumbangan mereka untuk diurus oleh MAIPs.
“Semoga sumbangan mereka dapat dimanfaatkan untuk membantu mangsa yang terkesan,” katanya.