Oleh Deeya Aqilah
9 Mac 2022, 22:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merupakan agensi yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal berkaitan dengan zakat secara formal sejak seabad yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, perkara berkaitan dengan pengurusan zakat hanya mula dibincangkan secara terperinci dalam minit mesyuarat “Perlis State Council” pada 1 Mac 1920 yang dipengerusikan oleh Raja Perlis keempat, iaitu Almarhum Tuanku Syed Alwi Jamalullail.

“Tugas tersebut telah diamanahkan kepada MAIPs apabila Almarhum Tuanku Syed Alwi memutuskan bahawa tanggungjawab menyediakan dan mengedarkan notis mengenai kewajipan membayar zakat kepada rakyat beragama Islam di Perlis diserahkan kepada ‘Kathi’,” katanya.

MAIPs juga mempunyai beberapa peranan lain yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu seperti fatwa dan pendidikan Islam.

Mengulas mengenai penubuhan MAIPs, beliau menyatakan bahawa kemungkinan cadangan awal telah dikemukakan pada sekitar tahun 1920 berdasarkan minit-minit mesyuarat “Perlis State Council” dari tahun 1919 hingga 1922.

Menurutnya, penggubalan “The Muhammadan Marriages (Separation) Amendment Enactment No.14” berkenaan dengan pendaftaran nikah, cerai dan rujuk yang diluluskan pada 12 September 1919 dan pewartaan Shariah Court Enactment No.5 pada 24 Februari 1922 dilihat sebagai asas kepada penubuhan MAIPs.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat menyerahkan sumbangan kepada asnaf terpilih di Kampung Tok Kaya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke program penyerahan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Aziz, Kampung Tok Kaya baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyerahkan sumbangan RM700 setiap seorang tersebut untuk diagihkan oleh amilnya, Mohamad Rosidi Yahaya.

Selain daripada bergiat aktif mengedarkan maklumat tentang kewajiban membayar zakat, agensi tersebut juga mengambil pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti dan mengagihkan bantuan zakat kepada mereka yang memerlukan.

Antaranya termasuklah program kayuhan MAIPs Peduli, iaitu kayuhan berbasikal bersama-sama Yang di-Pertua MAIPs, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.