Diterbitkan pada 12 Februari 2022, 23:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati majikan supaya memantau tahap kesihatan kakitangan dan menjalankan saringan gejala setiap hari di pintu masuk bagi memastikan hanya kakitangan yang sihat yang hadir bertugas.

“Majikan hendaklah memastikan semua kakitangan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu di tempat kerja, terutamanya semasa makan di pantri dan sepanjang majlis atau program yang diadakan oleh jabatan.

“Pihak majikan juga digalakkan untuk meneruskan amalan bekerja dari rumah atau melaksanakan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat di tempat kerja.”

Demikian titah baginda Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11 600 kepada seramai 29 orang asnaf terpilih di Kangar siang tadi. Masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Hakam, Kampung Kok Klang untuk diagihkan oleh amilnya, Khalid Abu Mansor sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-3 bagi tahun 2022.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Muda Perlis menyampaikan sumbangan zakat kepada seorang daripada penerima Bantuan Bulanan MAIPs.

Terdahulu daripada itu, baginda berkenan meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan sumbangan zakat kepada Besah Abdul 80 tahun yang tinggal bersama-sama cucunya. Beliau merupakan seorang daripada penerima Bantuan Bulanan MAIPs, Bantuan Baik Pulih Rumah MAIPs dan Bantuan Bencana MAIPs.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menasihati orang ramai yang belum mendapatkan vaksinasi lengkap supaya segera mendapatkan vaksin dos primer. Bagi yang layak mendapatkan dos penggalak pula, terutamanya warga emas dan individu dengan komorbiditi hendaklah segera mendapatkan dos penggalak terbabit. Semua Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) menawarkan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi