Oleh Deeya Aqilah
10 Februari 2022, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyediakan peruntukan zakat sebanyak RM7 257 000 untuk Bantuan Persekolahan 2022 berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM4 333 000 di 111 buah sekolah di seluruh negeri Perlis.

Agihan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 12 095 orang pelajar merangkumi 6713 orang pelajar sekolah rendah dan 5382 orang pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis. Jumlah ini tidak termasuklah penerima dalam kalangan pelajar Sekolah Agama Rakyat yang akan turut disalurkan bantuan secara berasingan.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs Tahun 2022 tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di Padang Behor, Kangar, semalam.

Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM600 seorang, merangkumi bantuan untuk pembelian pakaian sekolah dan alat tulis, sumbangan wang tunai, serta pelaksanaan aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh Pengurusan Sekolah melalui kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dengan saranan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis. Sumbangan berkenaan diberikan untuk manfaat para pelajar yang terlibat sahaja.

Pada kesempatan yang sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah, barisan guru dan PIBG seluruh negeri Perlis yang turut sama menjayakan proses mengenal pasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.