Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPUTRAJAYA – Selari dengan dasar kerajaan ke arah mewujudkan Keluarga Malaysia yang sejahtera melalui perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menganjurkan “Multaqa Kaunselor Syarii dan Perunding Cara Keluarga Peringkat Kebangsaan” yang disiarkan pada 2 November 2021 melalui Facebook Langsung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Multaqa yang bertemakan “Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Pandemik COVID-19” ini bertujuan untuk memperkasakan perkhidmatan kaunseling syarii dan psikospritual dalam penyampaian khidmat nasihat, serta menjadikan perkhidmatan ini sebagai rujukan utama masyarakat yang menghadapi masalah.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mohd Noor Saper berkata, masyarakat kini berada dalam gelombang baharu, iaitu norma baharu dan masyarakat terpaksa menyesuaikan diri dengan segala perubahan tersebut. Pandemik yang hadir ini sangat memberikan tekanan kepada masyarakat Malaysia sehingga menyebabkan ada yang terganggu kesihatan mental.
“Semasa pandemik, kes permohonan perceraian Malaysia meningkat dengan begitu ketara, iaitu sebanyak 66 440 kes. Tekanan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat semasa pandemik ini boleh dibantu dengan pelaksanaan lima Inisiatif Mantap yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan para pegawai runding cara juga merupakan sebahagian daripada individu yang bertanggungjawab merealisasikan insiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Memperkasa Perkhidmatan Kaunselor Syarii dan Runding Cara dalam Mensejahterakan Keluarga Malaysia”.

Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) dan Timbalan Presiden, Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA), Prof. Madya Dr. Che Zarina Sa’ari pula menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah melahirkan kecelaruan dalam diri masyarakat Malaysia atas pelbagai faktor, seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan, kehilangan pekerjaan dan pendapatan, propaganda vaksin, kematian orang yang disayangi, dan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Beliau juga memberikan empat kaedah menghadapi isu kesihatan mental, iaitu muhasabah diri, mengenali diri, perjuangan diri dan kebahagiaan diri. Beliau membentang kertas kerja bertajuk “Pendekatan Psikospiritual Islam dalam Pengurusan Kesihatan Mental Keluarga Malaysia”.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Haji Idris Haji Ahmad ketika merasmikan multaqa tersebut berkata, penganjuran multaqa itu menepati inisiatif MANTAP di bawah Piagam C-19 melalui inisiatif ketiga, iaitu pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam. Beliau menyokong usaha penuh JAKIM yang telah menubuhkan Islamic Spiritual Care Counselor (ISCC) bagi memastikan masyarakat dapat dibantu dengan baik.
Antara resolusi utama yang digariskan dalam multaqa tersebut termasuklah memantapkan perkhidmatan runding cara atau khidmat nasihat, meningkatkan kompetensi semua kaunselor syarii, memperluas perkhidmatan runding cara, memberikan pengiktirafan kepada kaunselor syarii dan perunding cara, serta meningkatkan latihan dan kemahiran mereka.