29 Oktober 2021, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Wanita memainkan peranan yang besar dalam keluarga dan masyarakat. Sebelum kedatangan Islam, kedudukan kaum wanita dipandang rendah dan dianggap tiada hak untuk bersuara, malah dipandang hina serta tidak diberikan penghormatan sebagai manusia. Namun begitu, kedatangan Islam telah membawa sinar kepada golongan wanita dengan mengangkat kedudukan dan martabat mereka di sisi Allah SWT menjadi manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab. Dalam hal ini, wanita juga mempunyai amanah yang besar dan perlu digalas seperti kaum lelaki.

Demikian menurut Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr. Raihanah Abdullah.

Kenyataan ini disokong oleh Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar’iah, Akademi Pengajian Islam, Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail yang mengatakan bahawa wanita kini boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki, serta boleh sama-sama menyumbang terhadap pembangunan negara.

“Jawatan yang dahulunya tidak pernah terlintas di fikiran kita kini sudah boleh disandang oleh wanita seperti menteri, timbalan perdana menteri, pegawai daerah, rektor dan gabenor bank. Bahkan, jawatan yang melibatkan dan memerlukan tenaga dan kudrat seperti ketua balai bomba dan ketua polis juga turut disandang oleh wanita. Wanita pada peringkat atas inilah yang membuat keputusan dan mengeluarkan arahan.

Kedua-duanya berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum yang bertajuk “Wanita dan Peranan Kebangkitan Kecemerlangan Ummah Pasca-Pandemik”, iaitu sesi ketiga “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2” yang disiarkan pada 26 Oktober 2021 melalui Facebook Langsung Suara Sunnah Channel.

Profesor Datin Dr. Raihanah menjelaskan lagi bahawa wanita memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk membangunkan masyarakat tidak kira sama ada mereka berkerjaya atau tidak. Pendidikan kekeluargaan dan rumah tangga amat penting dan perlu ada kebersamaan antara suami dengan isteri dalam urusan menggalas tanggungjawab. Suri rumah juga perlu memiliki ilmu pengetahuan dan menjadi contoh kepada anak-anak.

Beliau meminta kaum wanita supaya mencontohi keperibadian dan ketokohan isteri Rasulullah SAW. Mereka menjadi antara wanita yang terawal menerima Islam, periwayat hadis yang banyak, wanita yang tabah, pemurah dan berperanan penting dalam perjuangan Rasulullah SAW.

“Kejayaan seorang suami itu, di sampingnya ialah seorang wanita, dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu, suami dan isteri perlu saling membantu, jatuh dan bangun bersama serta saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Hayaati menyeru kaum wanita supaya melihat kesibukan dan kesukaran yang dihadapi dari perspektif yang positif.

“Kesibukan dan kesukaran yang dihadapi menjadikan kita lebih tabah dan memiliki jati diri. Kesibukan boleh diatasi dengan pengurusan masa yang baik. Dalam Islam ada menyatakan tentang keutamaan, iaitu dengan memastikan hal yang lebih penting daripada hal yang penting.

“Oleh itu, wanita perlu merancang masa terutama dalam mengendalikan hal rumah tangga. Suami dan isteri juga perlu meluangkan masa yang berkualiti dengan keluarga bukan berapa lama kita bersama-sama keluarga. Wanita juga perlu memperuntukkan masa kepada diri untuk belajar daripada pengalaman, kesalahan dan kesilapan yang dilalui. Oleh itu, harungilah kesibukan dengan kebijaksanaan,” jelas beliau.

Terdahulu daripada itu, dalam titah ucapan perasmian, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa kaum wanita juga perlu lebih berani menyahut cabaran dan sentiasa berubah mengikut peralihan masa supaya kekal relevan. Satu daripada caranya adalah dengan membaca kerana melalui pembacaan, wanita akan menjadi seorang yang berilmu pengetahuan.

Webinar yang bertemakan “Women in Search of Excellence (WISE)” tersebut merupakan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Suara Sunnah Channel.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.