25 Mac 2023, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Islam memuliakan kaum wanita dan turut menggariskan beberapa hak khusus buat para wanita yang beragama Islam.

“Antaranya termasuklah hak untuk bersosial, hak untuk memiliki harta, serta hak untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pendidikan,” kata Prof. Madya Dr. A‘dawiyah Ismail.

Prof. Madya Dr. A‘dawiyah Ismail ketika menyampaikan webinar “Kecantikan, Perhiasan dan Pergaulan Wanita” secara dalam talian, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan Penolong Dekan Keusahawanan dan Kreativiti, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sedemikian dalam webinar halaqah yang bertajuk “Kecantikan, Perhiasan dan Pergaulan Wanita”, anjuran exco siswi Kelab Dakwah dan Kepimpinan dengan kerjasama siswi daripada Persatuan Mahasiswa FPI, UKM, baru-baru ini.

Menurut Prof. Madya Dr. A‘dawiyah, sepertimana majlis ilmu yang giat dijalankan sempena bulan Ramadan pada kali ini, webinar halaqah ini juga menjadi sebagai satu daripada medium peringatan dan ulang kaji khususnya untuk para wanita Muslimah.

“Hal ini bagi mempersiapkan diri dari pelbagai sudut yang dianjurkan oleh agama Islam, dan tidak melampaui batas yang telah disyariatkan,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan mengenai adab berhias bahawa Islam membenarkan kaum wanita untuk memakai perhiasan.

“Akan tetapi, tidaklah berhias secara berlebih-lebihan (tabaruj),” jelas Prof. Madya Dr. A‘dawiyah.

Beliau turut menegaskan bahawa kaum wanita tidak boleh meniru atau mengikut jejak pengaruh luar yang negatif.

 

Foto: Zurijeta/Canva

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.