28 Oktober 2021, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah memberikan hikmah yang besar terhadap kehidupan masyarakat keseluruhannya. Dalam tempoh tersebut banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh wanita yang bekerja sebelum ini dapat dilaksanakan di rumah bersama-sama ahli keluarga seperti solat berjemaah, sesi tazkirah, membaca dan mendalami al-Quran serta bersedekah. Amalan yang dituntut oleh Islam ini berupaya memberikan contoh terbaik dan menjadi ikutan kepada anak-anak.

Perkara ini dinyatakan oleh Pakar Perunding Kanan Kesihatan Awam dan Pengurusan Hospital dan mantan Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dato’ Dr. Zaininah semasa membincangkan tajuk “Diskusi Sembang Santai: Wanita dan Pandemik” dalam Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2 yang diadakan secara dalam talian pada 26 Oktober 2021 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sembang santai yang berlangsung secara dalam talian ini turut menampilkan dua orang ahli panel lain dalam bidang sains kesihatan, iaitu Dato’ Dr. Jahizah Hassan dan Dr. Zaridah Shaffie.

Menerusi sembang santai tersebut, Dato’ Dr. Zaininah menyentuh tentang hikmah yang diperoleh wanita semasa mendepani pandemik COVID-19. Antaranya adalah berkaitan dengan peningkatan pengurusan dan kepimpinan wanita dalam menguruskan rumah tangga. Menurut beliau:

“Jika wanita dapat menguruskan keluarga menjadi satu keluarga bahagia, harmoni, saling menghormati dan penuh kasih sayang, maka kita telah berjaya menjadi seorang pemimpin dan pengurus yang berjaya, malah di tempat kerja, kita akan dapat menjalankan tugasan dengan lebih cemerlang dan efektif.”

WhatsApp-Image-2021-10-28-at-13.12.45-1.jpeg

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Anestesiologi, Kardiotorasik dan Perfusi, merangkap mantan Presiden Kolej Pakar Anestesiologi, Akademi Perubatan Malaysia, Dato’ Dr. Jahizah Hassan pula berkata kesabaran wanita petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas membuktikan kecekalan mereka menghadapi pelbagai cabaran sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Hal ini termasuklah menghadapi cemuhan daripada golongan antivaksin yang mempertikaikan pengambilan vaksin dan prosedur intubasi kepada pesakit COVID-19, walhal kaedah rawatan tersebut merupakan antara usaha yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaridah Shaffie dalam diskusi ini pula menyentuh tentang perkembangan dan kepentingan vaksinasi dalam kalangan rakyat di Perlis. Beliau turut berbangga kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis menjadi antara pemimpin terawal yang mengambil vaksin di negeri itu.

“Sokongan dan kepercayaan kerabat diraja Perlis terhadap Program Imunisasi COVID-19 ternyata memberikan impak yang amat besar kepada rakyat khususnya. Maka itu, semua individu termasuklah ibu hamil perlu mendapatkan vaksin yang lengkap dan tidak terpedaya dengan golongan antivaksin,” ujar Dr. Zaridah dalam webinar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Suara Sunnah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.