Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penterjemah bahasa isyarat, Azlina Mohamed Isa berkata kemunculannya di TV AlHijrah sangat disenangi oleh rakan-rakan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), terutama kategori Orang Pekak.
“Saya mengambil serius amanah yang diberikan oleh TV AlHijrah ini kerana saya adalah suara rakan-rakan OKU pekak. Ini jihad saya untuk menyebarkan dakwah melalui penterjemahan kandungan Islam di televisyen secara tepat, mudah difahami dan menarik.
“Pada waktu ini, isyarat berkaitan dengan al-Quran masih tidak banyak. Jadi, saya perlu pantas berfikir dan memastikan terjemahan saya itu tepat dengan bait-bait al-Quran, kandungan rancangan, serta apa-apa yang diutarakan oleh para asatizah,” katanya.
Baru-baru ini TV AlHijrah telah membuat eksperimentasi dengan meletakkan jurubahasa isyarat bagi menyantuni masyarakat OKU pendengaran. Percubaan pertama telah dilaksanakan pada Julai lalu menerusi rancangan “My #QuranTime”.
Selaku seorang Felo Dai Pekak USIM, Azlina tidak melihat cabaran menterjemah bahasa al-Quran sebagai limitasi untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat OKU kerana beliau mengambil rujukan isyarat terjemahan al-Quran dari pelbagai negara Arab sebagai panduan serta mengubahsuai mengikut konteks budaya komuniti OKU pendengaran di Malaysia.
“Menterjemah al-Quran menggunakan bahasa isyarat merupakan satu cabang ilmu yang harus diterokai demi pembangunan ummah. Semoga usaha TV AlHijrah meraikan komuniti OKU pendengaran di Malaysia ini dapat memanfaatkan mereka,” ujarnya.