4 September 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Tanggal 31 Ogos setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang memahami makna dan harga sebuah kemerdekaan. Nilai kemerdekaan ini akan menyegarkan kembali nilai cinta dan kasih akan negara, atau disebut sebagai nilai patriotisme. Patriotisme  berasal daripada bahasa Greek, patrice, bermaksud tanah air.

Melalui penghayatan nilai patriotisme ini, hadir perasaan tanggungjawab, ketaatan dan pengorbanan. Seorang patriot dikatakan seorang yang cinta akan negaranya dan sanggup melakukan apa-apa sahaja demi menjaga maruah atau kemuliaan negaranya. Kebanggaan terhadap negara sebagai tanah air dan tanah tumpahnya darah akan melahirkan perasaan cinta, pengabdian dan nilai ntegriti yang tinggi terhadap tanah airnya.

Nilai patriotisme sangat penting untuk melahirkan tindakan atau perilaku beretika demi Malaysia tercinta. Penzahiran rasa kasih dan sayang akan negara dan komponennya mencetuskan pengaruh yang kuat bagi tingkah laku manusia untuk mempertahankan kedaulatan negara demi kesejahteraan rakyat. Nilai patriotisme ini sangat diperlukan pada saat ini, terutama ketika masyarakat mula meminggirkan nilai murni lantaran asakan nilai kebendaan yang begitu kuat.

Nikmat 64 tahun kemerdekaan perlu disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan yang murni dan tulen. Kemajuan yang digerakkan mesti seiring dengan pembangunan keinsanan. Nilai kemerdekaan yang perlu diperah keluar ialah keupayaan mengembalikan kedudukan dan kemuliaan insan sebagai makhluk yang mempunyai maruah dan harga diri dalam kebebasan yang terbatas.

Kebebasan terbatas yang dimaksudkan ialah kebebasan melakukan apa yang dikira baik dan dapat mendatangkan faedah mengikut skala atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama atau ajaran yang menjadi panduan hidup seseorang.

Dalam konteks kepelbagaian kaum, bangsa dan etnik di negara kita, nilai asas kemanusiaan, seperti kasih sayang dan saling menghormati mesti terus dijaga dan dihayati, tidak kira agama dan sistem kepercayaan yang menjadi pegangan. Dengan kata lain, semangat atau roh untuk saling mengenali selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 12-13 yang menjadi asas kehidupan dalam kepelbagaian ini dan perlu diraikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jauhilah prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain. Apakah ada antara kamu yang menyukai memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang”. (Surah al-Hujurat 49:12).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudia Kami menjadikan kamu berbagsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu di sisi allah ialah orang yang bertakwa. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti”. (Surah Hujurat 49:13).

Semua rakyat Malaysia, sama ada dalam kalangan masyarakat kebanyakan, golongan mahasiswa atau pelajar sekolah, masing-masing mempunyai tugas yang perlu disempurnakan. Apatah lagi dalam suasana dunia hari ini yang kelihatan seolah-olah ketandusan suri teladan yang dapat dijadikan ikutan, tetapi dibanjiri oleh idola, iaitu golongan yang diistilahkan sebagai pempengaruh.

Kelompok ini perlu dibina dan digerakkan semula kesedaran mereka tentang keperluan memahami sejarah tanah air di samping memupuk dan membugar budaya ilmu demi menghidupkan roh perjuangan. Roh perjuangan ini disegarkan untuk membantu Malaysia membina peradaban dan ketamadunan, khususnya melalui jalinan harmoni merentas agama dan kaum.

Tokoh peradaban dan pemikir dari Algeria, Malik Bennabi, menegaskan bahawa perjuangan memerdekakan tanah air harus berlaku serentak dengan membebaskan minda daripada terus dijajah. Berusahalah melepaskan diri daripada cara berfikir seperti penjajah yang tidak meletakkan agama sebagai panduan, khususnya untuk membina sistem nilai.

Kemerdekaan itu tidak bermakna sekiranya hanya memiliki kebebasan secara fizikal, tetapi minda ini masih lagi dibelenggu dengan kefahaman penjajah. Dengan kata lain, jiwa yang merdeka merupakan permulaan penzahiran nilai-nilai murni yang didukung dalam diri setiap individu.

Oleh hal yang demikian, setiap warganegara Malaysia bertanggungjawab untuk menyegarkan dan melestarikan perasaan kasih dan sayang terhadap tanah air, Malaysia bumi tercinta. Dengan nilai patriotisme ini, lahir perasaan kebersamaan untuk menjaga maruah, keamanan dan kesejahteraan negara yang pastinya menuntut pengorbanan seseorang untuk mencapai tujuan tersebut.

Rakyat Malaysia pada hari ini perlu bangkit untuk sama-sama menyemarakkan semangat patriotisme yang kian lesu. Bersama-sama menyapu debu saki-baki tinggalan penjajahan yang menutupi jiwa dan jasad yang sepatutnya telah menikmati makna merdeka yang sebenar.

Nilai patriotisme ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Pastinya institusi keluarga berperanan penting dalam pembentukan apa-apa jua nilai, khususnya nilai kasih akan tanah air ini. Mungkin ada yang bertanya, bagaimanakah perasaan patriotisme ini dapat dizahirkan?

Dalam hal ini, kita boleh melihat antara usaha yang boleh dilakukan termasuklah penzahiran sikap tersebut. Perasaan cinta akan terzahir melalui tingkah laku atau perbuatan seorang warganegara yang baik. Sebagai contoh, seseorang warganegara itu cukup bangga dengan produk tempatan yang dihasilkannya.

Dari segi penggunaan bahasa, pastinya akan hadir dalam jiwa seseorang keperluan untuk menggunakan bahasa kebangsaaan yang menjadi bahasa negara kerana bahasa itu melambangkan jiwa yang dimilikinya. Sebagai warganegara yang cinta akan negaranya, sudah tentu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik, sesuatu yang sangat dibanggakannya.

Bahasa juga mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan budaya. Seseorang akan berasa terpanggil untuk melestarikan budaya bangsanya dalam setiap elemen budaya yang dimilikinya.

Penghayatan terhadap Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan, lalu menterjemahkannya dalam kehidupan juga suatu usaha penzahiran nilai kasih terhadap tanah air yang amat bermakna dan tinggi nilainya. Dalam konteks kehidupan bersama dengan pandemik ini, sudah pastilah pematuhan SOP dan apa-apa jua peraturan yang berkaitan, dikira sebagai penzahiran nilai kasih terhadap negara yang tercinta.

Sememangnya, individu yang mempunyai nilai patriotisme ialah individu yang bermaruah dan memiliki nilai murni yang tinggi. Hal ini berjaya dizahirkan dalam tingkah laku atau disebut sebagai adab bersosial.

Apabila nilai ini subur dalam jiwa yang merdeka, maka lahir atau terbentuk warganegara yang mempunyai integriti yang tinggi dan kekal melakukan hanya perkara yang baik dan bermaruah, meskipun tiada sesiapa yang melihatnya. Individu ini akan berasa hina, keji dan jijik untuk melakukan kemungkaran seperti rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan penipuan.

Warganegara seperti ini yang sangat diperlukan sebagai pemain utama dalam pembinaan peradaban dan tamadun negara. Salam kemerdekaan yang ke-64 dan Selamat Hari Malaysia!


Ratna Roshida Ab Razak (Dr.) ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi