27 Ogos 2021, 22:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tujuan Allah mewujudkan pelbagai bangsa dan kaum di dunia ini bukan sahaja untuk mereka saling mengenali antara satu sama lain (li ta‘arafu) dari segi warna kulit dan adat resam, bahkan juga untuk memanfaatkan kehebatan bangsa lain sebagai nilai tambah untuk kekuatan bangsa sendiri.

Dalam konteks di Malaysia, kita harus lihat kepelbagaian keturunan sebagai suatu rahmat yang besar. Kita boleh mengambil kekuatan daripada tradisi Cina, India, Arab dan dari seluruh dunia. Oleh sebab itu, tamadun Melayu dari zaman dahulu sudah terkenal dengan tamadun besar dunia.

Demikianlah muqadimah yang diberikan oleh Datuk Seri. Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam program Mutiara Minda Siri 30/2021 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Program tersebut disiarkan melalui Facebook Langsung YADIM dan dikendalikan oleh Ustaz Arif Adzwan Ali sebagai mederator.

Menurut Dr. Awang, dengan adanya teknologi dan media massa yang lebih maju berbanding dengan zaman dahulu, masyarakat sepatutnya lebih celik tentang usaha untuk bersatu padu daripada berpecah belah dan meminggirkan bangsa lain.

“Usaha ini mesti dilakukan oleh kerajaan melalui pendidikan di sekolah, institusi pendidikan tinggi dan lembaga sosial, serta seterusnya dijadikan sebagai agenda negara. Jika tidak, masalah perpaduan ini akan menjadi sebab wujudnya kesenjangan dalam masyarakat. Maka itu, konsep li taarafu tidak tercapai kerana kita tidak berusaha untuk saling mengenali,” katanya.

Dari segi sambutan kemerdekaan, beliau berkata terdapat perbezaan antara semangat kemerdekaan orang dahulu dengan generasi sekarang. Dahulu kemerdekaan disambut ketika penuh kesedaran dan keinsafan bahawa hal tersebut rahmat daripada Allah. Kini, kemerdekaan dilihat sebagai suatu lipatan sejarah, bahkan generasi kini tidak mengenali tokoh pejuang kemerdekaan.

“Lambat laun sambutan kemerdekaan akan dilihat sebagai rutin tahunan dan lebih bersifat ritual dan hiburan. Soal patriotisme tidak terus dihayati dan sistem nilai sudah mula berubah. Hal ini perlu dibendung melalui perdidikan formal dan tidak formal. Kalau tidak, kita belum merdeka sepenuhnya,” jelasnya.

Selaras dengan hal itu, rakyat Malaysia perlu menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya dan menganggap bahawa semua bangsa di negara ini sebagai satu keluarga besar supaya tidak ada mana-mana kaum yang berasa terpinggir dan didiskrimminasikan.

Tambahnya, era pandemik COVID-19 ini merupakan waktu yang sesuai untuk rakyat Malaysia mempersiapkan diri akan erti kemerdekaan. Allah memberikan amaran tetapi manusia tidak menyedari bahawa nikmat Allah itu amat banyak.

“Ini peluag terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk saling membantu. Sangat besar pengajaran yg dapat diambil daripada pandemik ini,” katanya.

Berkenaan erti kemerdekaan yang hakiki, bagi Dr. Awang, rakyat Malaysia belum mencapai kemerdekaan yang hakiki. Masih banyak pemikiran yang tidak menunjukkan erti kemerdekaan. Contohnya, dalam bidang pendidikan, aliran agama dan aliran akademik dibezakan, ilmu fardu ain dan fardu kifayah dipisahkan, serta ilmu sains dan ilmu wahyu diasingkan. Sedangkan penyatuan ilmu ukhrawi dan duniawi telah dibicarakan oleh ulama silam sejak dahulu.

“Banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam soal pemikiran kemerdekaan, iaitu kemerdekaan dari segi kebenaran, kefahaman, dan daripada suatu yang benar kepada yang batil. Kita perlu memandu masyarakat kita kearah kemerdekaan,” ujarnya.

Beliau berharap tempoh pandemik ini menjadi tempoh paling baik untuk rakyat menilai erti kemerdekaan. Walaupun penjajah sudah tidak ada dalam negara, tetapi warisan penjajah dari segi pemikiran, politik, undang-undang, cara beragama, pendidikan masih berleluasa.

“Acara sambutan kemerdekaan perlu diadakan, tetapi raikanlah dengan penuh pengertian,” ujarnya mengakhiri perbincangan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.