24 Ogos 2021, 20:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semangat patriotisme dalam kalangan generasi dahulu dikatakan lebih tinggi jika dibandingkan dengan generasi hari ini. Tindakan mereka lebih menunjukkan semangat dan kecintaan terhadap negara tercinta. Hal ini berbeza dengan generasi sekarang yang hanya asyik dengan media sosial sehingga seolah-olah mereka mengabaikan kecintaan terhadap negara.

Bagi Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), generasi muda hari ini tidak boleh dipersalahkan dalam hal tersebut kerana mereka dilahirkan dalam arus kemajuan dan kemodenan yang penuh mencabar. Mereka tidak merasai kepayahan hidup sebagaimana generasi terdahulu.

“Setiap generasi ada karakter dan kefahaman mereka sendiri. Oleh itu, perlu ada kombinasi dan saling memahami antara satu sama lain. Di situlah terjadinya jurang generasi. Untuk menutup jurang tersebut, yang tua harus mengasihi yang muda, dan yang muda harus menghormati yang muda,” katanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bukanlah dalam kalangan aku orang yang tidak menghormati orang tua dan tidak mengasihi yang muda”. (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Beliau berkata demikian ketika mengulas persoalan “Patriotisme dalam Kalangan Generasi Muda” yang disiarkan dalam segmen “Biar Jelas” melalui Facebook Langsung YADIM pagi tadi.

“Sudah tentu setiap generasi itu berbeza. Cuma kita perlu memberikan kefahaman kepada setiap generasi, khususnya generasi muda apakah sebenarnya makna patriotisme, apakah tindakan yang betul, dan apakah yang sebenarnya mereka sumbangkan untuk negara.

“Dalam Islam, soal nilai tidak berubah. Begitu juga nilai cinta akan negara, cuma cara dan tindakan yang berubah. Generasi muda mungkin bertindak mengikut kefahaman mereka, sebab itu tindakan mereka berbeza. Contohnya, dengan menjadi sukarelawan di pusat pemberian vaksin, mereka telah menunjukkan tanggungjawab mereka terhadap negara. Oleh itu, setiap generasi perlu tahu membezakan antara nilai dengan tindakan,” katanya.

Dari segi penggunaan media sosial sebagai platform untuk menghina pemimpin, Jufitri berkata, pendidikan merupakan suatu jihad untuk mendidik anak muda memahami persoalan adab dan nilai kerana nilai patriotisme mengajar rakyat Malaysia menjadi warganegara yang beradab.

Generasi muda perlu dididik dengan budaya ilmu supaya mereka faham cara untuk menghasilkan tindakan yang betul. Pengetahuan akan menghasilkan makrifah (kefahaman), seterusnya melahirkan perasaan sayang terhadap negara, dan natijahnya akan lahirlah tadhiyah (pengorbanan). Inilah yang berlaku kepada para sahabat, iaitu mereka dibimbing dengan kefahaman oleh Rasulullah sehingga mereka kasih dan sanggup berkorban untuk mempertahankan Rasulullah SAW.

“Untuk menjadi negara maju bukan hanya negara yang maju, tetapi bangsanya juga harus maju, dan bangsa yang maju bukan hanya dari segi material, tetapi maju dari segi budaya dan tamadun, dan satu daripadanya ialah akhlak. Oleh itu, tidak salah mengkritik kerajaan dan pemimpin melalui media sosial, tetapi harus dengan adab dan platform yang betul. Gunakanlah media sosial bukan hanya untuk mengkritik, tetapi juga untuk mengubah keadaan dan memberikan idea yang baharu yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan cinta akan negara,” katanya.

Jufitri mengesyorkan agar selain pembudayaan ilmu dan adab, belia Melayu Islam perlu dikembalikan kepada tradisi tamadun Melayu yang begitu halus, supaya mereka mempunyai akhlak Islam dan identiti kemelayuan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.